GEORGE TOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan memulakan operasi sebuah loji rawatan air (LRA) baharu berkapasiti 80 juta liter sehari (JLH) di Seberang Perai Selatan (SPS) pada 2027.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K. Pathmanathan berkata loji yang dibangunkan menerusi kaedah Bina-Kendali-Pindah (BOT) itu akan menggunakan sumber air mentah dari Sungai Kerian, dan maklumat lanjut mengenai projek berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.
Beliau berkata projek itu adalah antara penyelesaian jangka sederhana PBAPP bagi memastikan bekalan air di SPS mencukupi untuk memenuhi keperluan penduduk serta pembangunan industri yang semakin pesat.
"Menjelang 2030 pula, LRA Sungai Kerian berkapasiti 114 JLH di bawah Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030) dijangka mula beroperasi bagi memperkukuh kestabilan perkhidmatan bekalan air di SPS.
"Sementara itu, pada 2031 Projek Air Perak-Pulau Pinang dijangka mula membekalkan antara 300 hingga 500 JLH air terawat dari Perak ke SPS bagi memastikan bekalan air mencukupi pada dekad 2030-an, selain turut menyalurkan bekalan ke Seberang Perai Tengah (SPT)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata PBAPP juga telah mengoperasikan sebuah LRA Kompak bernilai RM8.1 juta di SPS sejak Mac tahun lepas, yang mampu menghasilkan sehingga 6.4 JLH air terawat menggunakan sumber air mentah dari Sungai Kerian.
"Loji itu kini membekalkan air terawat kepada kira-kira 4,000 pengguna berhampiran sebagai penyelesaian kejuruteraan sementara bagi tempoh tiga tahun untuk memenuhi peningkatan permintaan bekalan air di daerah SPS," katanya.
Berdasarkan rekod PBAPP, SPS mempunyai 87,611 pengguna air berdaftar dengan purata penggunaan sebanyak 116.8 JLH pada 2025, bersamaan kira-kira 13.5 peratus daripada keseluruhan penggunaan air di Pulau Pinang.
Beliau berkata berikutan pembangunan Batu Kawan Industrial Park 3 (BKIP3) bernilai RM2.2 bilion yang meliputi kawasan seluas kira-kira 165 hektar, permintaan bekalan air di BKIP3 diunjurkan mencecah kira-kira 220 JLH pada dekad 2030-an.
"Selain itu, projek pembangunan SkyWorld Cassia serta cadangan pembinaan kilang semikonduktor Siliconware Precision di SPS juga bakal menyumbang kepada peningkatan permintaan bekalan air di daerah ini pada dekad yang sama," katanya.
-- BERNAMA