Skip to main content

Malaysia

Parlimen: Malaysia tidak pernah iktiraf kerajaan baharu Myanmar - Mohamad Hasan

[TB]_Mohamad Hasan 3_JaPen
Mohamad Hasan ketika sesi Pertanyaan - Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto JaPEN

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar menegaskan Malaysia tidak pernah mengiktiraf kerajaan baharu Myanmar yang terbentuk selepas pilihan raya yang diadakan oleh junta tentera pada Disember tahun lalu.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata lawatan beliau ke Myanmar pada Mei lalu tidak boleh ditafsirkan sebagai pengiktirafan terhadap kerajaan baharu negara itu dan tidak sama sekali menjejaskan pendirian Malaysia serta ASEAN berhubung pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara (5PC).

"Ingin saya jelaskan di sini bahawa lawatan yang dibuat bukanlah merupakan pengiktirafan terhadap kerajaan baharu Myanmar dan tidak sama sekali menjejaskan pendirian Malaysia dan ASEAN berhubung pelaksanaan 5PC.

"Ia sebenarnya adalah usaha untuk mengekalkan saluran komunikasi dan momentum usaha yang dijalankan sewaktu Kepengerusian ASEAN Malaysia pada tahun lepas," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab pertanyaan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) mengenai pendirian semasa dasar luar Malaysia terhadap kerajaan Myanmar dan sejauh manakah kemajuan dalam 5PC diambil kira dalam perumusan dasar luar berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata lawatan ke Nay Pyi Taw pada 19 Mei lalu diadakan susulan keputusan para pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 di Cebu, Filipina pada 8 Mei 2026 yang meminta Menteri-Menteri Luar ASEAN mengadakan libat urus secara tidak rasmi dengan Myanmar.

Beliau berkata dalam lawatan itu, beliau mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Myanmar yang baharu, U Tin Maung Swe, bagi menilai perkembangan terkini krisis di negara berkenaan serta menyampaikan pandangan dan hasrat para pemimpin ASEAN.

"Saya turut membangkitkan isu-isu kritikal yang lain seperti pembebasan tahanan politik, penyelesaian lambakan terutamanya pelarian Rohingya khususnya di Malaysia serta pengukuhan kerjasama dalam menangani jenayah kewangan atas talian.

"Saya juga mencadangkan kepada Myanmar penubuhan wilayah autonomi serta pendekatan federalisme yang turut boleh dipertimbangkan oleh Myanmar.

"Myanmar menerima baik cadangan untuk Malaysia terus mengadakan libat urus dengan pemegang taruh Myanmar yang lain.

"Saya juga melihat pihak Myanmar kali ini lebih terbuka dengan cadangan yang diutarakan, jika dibandingkan dengan interaksi kita sebelum ini sewaktu Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun lepas," tambahnya.

Menurutnya, Malaysia kekal berpegang kepada pendekatan yang terangkum dalam menangani isu Myanmar dengan melibatkan semua pihak berkepentingan, termasuk pihak berkuasa Myanmar, Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), Pasukan Pertahanan Rakyat (PDF) dan Organisasi Bersenjata Etnik (EAOs).

“Malaysia terus menggesa semua pihak untuk menghentikan keganasan dan mewujudkan gencatan senjata bagi menyokong usaha perdamaian serta kestabilan yang berkekalan di Myanmar,” katanya.

 

Must Watch Video

Advertisement