Skip to main content

Malaysia

Parlimen: Kerajaan sedang memuktamadkan pindaan Akta Perhimpunan Aman

41770703803_SaifuddinNasutionI.jpg
Saifuddin Nasution Ismail, berkata, ketika ini kementeriannya sedang mendapatkan pertimbangan dan kelulusan kerajaan terhadap cadangan pindaan berkenaan. - Foto fail/JaPen

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memuktamadkan cadangan pindaan kepada Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan Seksyen 9(5) akta itu sebagai tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata, ketika ini kementeriannya sedang mendapatkan pertimbangan dan kelulusan kerajaan terhadap cadangan pindaan berkenaan,

Jelas beliau, cadangan pindaan itu mengambil kira keputusan Mahkamah Persekutuan, pandangan Jabatan Peguam Negara, agensi penguatkuasaan serta maklum balas daripada pihak berkepentingan.

Beliau berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan pada 1 Julai 2025 mengisytiharkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 tidak sah dan tidak berperlembagaan kerana hukuman yang diperuntukkan disifatkan tidak berkadaran dengan kesalahan, sekali gus bercanggah dengan hak kebebasan berhimpun yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

"Susulan keputusan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan kajian terhadap keseluruhan peruntukan di bawah Akta 736 bagi memastikan ia selaras dengan prinsip demokrasi, hak asasi manusia dan keperluan melindungi ketenteraman awam," katanya. 

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan P Prabakaran (PH-Batu) mengenai langkah kerajaan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) tidak berperlembagaan.

Saifuddin berkata, tertakluk kepada kelulusan yang diperlukan, kerajaan menyasarkan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 dibentangkan di Parlimen pada sesi yang bersesuaian.

Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA), yang mengenakan denda terhadap penganjur yang gagal memberikan notis lima hari sebelum mengadakan perhimpunan kepada polis, adalah tidak berperlembagaan.

Pada Julai 2025, Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan peruntukan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA), yang mengenakan denda terhadap penganjur yang gagal memberikan notis lima hari sebelum mengadakan perhimpunan kepada polis, adalah tidak berperlembagaan.

Beliau berkata, Seksyen 9(5) PAA adalah bercanggah dengan perlembagaan kerana ia tidak konsisten dengan Perkara 10(2)(b) dan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan (kesamarataan di sisi undang-undang).

Perkara 10(2)(b) menjelaskan parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (b) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam;

Beliau berkata, Mahkamah Persekutuan mendapati Subseksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 tidak digubal secara sah di bawah Perkara 10(2)(b) Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh disifatkan sebagai sekatan yang sah terhadap hak kebebasan berhimpun yang dijamin kepada semua warganegara.

 

Must Watch Video

Advertisement