Skip to main content

Malaysia

Ops Ulat KLIA: JPJ kesan pemandu e-hailing tidak guna aplikasi untuk raih keuntungan

SEPANG, 6 Julai -- Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli melihat kenderaan yang disita selepas sidang media Operasi Ulat (Ops Ulat) di Terminal 2 (KLIA2) hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli melihat kenderaan yang disita selepas sidang media Operasi Ulat (Ops Ulat) di Terminal 2 (KLIA2) hari ini. - Foto BERNAMA

SEPANG: Operasi Ulat (Ops Ulat) dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 (T1) dan T2 mendapati terdapat pemandu e-hailing berlesen sengaja tidak menggunakan aplikasi tempahan bagi membolehkan mereka mengenakan caj lebih tinggi kepada pelancong untuk meraih keuntungan.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata pemandu terbabit menunggu di balai ketibaan bagi memujuk pelancong, khususnya warga asing agar menggunakan perkhidmatan mereka secara terus tanpa melalui aplikasi yang menetapkan kadar tambang dan sistem giliran.

"Mereka memerangkap dan mengambil kesempatan ke atas pelancong yang tidak tahu bagaimana untuk pergi ke satu-satu tempat. Pelancong diperdaya oleh “ulat-ulat” ini dengan mengenakan bayaran sangat tinggi sedangkan bayaran sepatutnya kalau ke Kuala Lumpur antara RM65 hingga RM80 jika naik teksi.

"Tetapi (pelancong) dikenakan caj RM500 hingga RM800, yang menyebabkan pelancong ini balik (ke negara mereka) dan memberikan maklum balas yang negatif tentang negara kita," katanya pada sidang media sempena Ops Ulat KLIA di sini hari ini.

Beliau berkata kegiatan ulat yang dikesan di KLIA melibatkan individu yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan secara haram kepada penumpang baru tiba ke negara ini, dengan mengenakan caj jauh melebihi kadar munasabah bagi perjalanan ke Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya.

Aedy Fadly berkata antara kes dikesan membabitkan seorang pelancong dari China yang pada mulanya bersetuju membayar RM60 bagi perjalanan dari KLIA T2 ke Kuala Lumpur, namun kemudian diminta membayar RM836 setibanya di destinasi dan didakwa tidak dibenarkan keluar dari kenderaan sekiranya enggan membuat pembayaran.

"JPJ memandang serius kegiatan ini kerana bukan sahaja menyalahi undang-undang malah menjejaskan integriti sistem pengangkutan awam negara, merugikan pengusaha berlesen serta memberi imej negatif kepada Malaysia sebagai destinasi pelancongan," katanya.

Mengenai ops yang bermula 12 hingga 26 Jun itu, beliau berkata JPJ melaksanakannya secara besar-besaran dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), melibatkan anggota daripada JPJ Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.

"Ada anggota kita yang menyamar sebagai pelancong dan ada juga yang kita gunakan warganegara dan bukan warganegara untuk kita dapatkan ulat-ulat ini yang mengambil kesempatan ke atas pelancong yang tiba di terminal KLIA," katanya.

Beliau berkata sepanjang operasi berkenaan JPJ telah memeriksa 59 kenderaan dan mengambil tindakan terhadap 54 daripadanya melibatkan 27 kenderaan persendirian, e-hailing (16), teksi (9) dan kenderaan milik syarikat (2).

Aedy Fadly berkata sebanyak 76 notis dikeluarkan atas kesalahan di bawah Seksyen 205, Seksyen 16(1), Seksyen 243 (1) dan Seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, melibatkan 70 notis kepada warga tempatan dan enam notis kepada warga asing.

Beliau berkata JPJ turut mengesan penglibatan warga Bangladesh dalam kegiatan ulat di KLIA, dengan golongan terbabit didapati menyasarkan pelancong dari negara mereka kerana lebih mudah berkomunikasi dan meyakinkan mangsa.

“Kegiatan ulat ini turut dikesan di beberapa lapangan terbang lain termasuk di Subang, Pulau Pinang, Johor dan Terengganu, namun jumlah kes di KLIA adalah yang tertinggi,” katanya.

Aedy Fadly menegaskan JPJ tidak akan berkompromi terhadap kegiatan ulat kerana ia bukan sahaja menyalahi undang-undang dan merugikan pengusaha berlesen, malah menjejaskan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan, khususnya sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Beliau berkata JPJ akan meneruskan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa di semua lapangan terbang utama negara, selain memperhebat rondaan harian di KLIA T1 dan T2 bagi memastikan kegiatan itu dapat dibanteras sepenuhnya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement