KUALA LUMPUR: Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang menghadiri Persidangan Kuala Lumpur: Solidariti Bersama Pelarian sempena Hari Pelarian Sedunia 2026 meluluskan satu deklarasi dan 10 resolusi berkaitan isu pelarian.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata deklarasi bertemakan "Until Everyone Is Safe" itu menegaskan bahawa keselamatan, maruah dan hak asasi setiap insan adalah saling berkait.
Antara 10 resolusi yang dipersetujui ialah menolak segala bentuk kebencian, diskriminasi, dehumanisasi dan hasutan terhadap pelarian serta pencari suaka.
Resolusi itu turut mengiktiraf kebimbangan masyarakat berkaitan keselamatan, penguatkuasaan undang-undang dan kesejahteraan sosial yang perlu ditangani secara bertanggungjawab serta berasaskan fakta.
Selain itu, persidangan berkenaan menyokong usaha kerajaan memperkukuh sistem pendaftaran dan dokumentasi pelarian serta memperkasakan pendidikan awam, literasi media dan langkah membendung maklumat palsu, ucapan kebencian serta sentimen xenofobia.
Ahmad Fahmi berkata penganjuran persidangan itu bertujuan membawa semula perbincangan mengenai isu pelarian ke landasan yang lebih sederhana dan seimbang, bukannya untuk menyaingi peranan kerajaan.
Menurut beliau, beberapa tindakan susulan perlu dilaksanakan bagi mengelakkan isu pelarian terus menjadi topik polemik yang berlarutan dalam masyarakat.
“Kita tidak hendak isu yang dibicarakan hari ini menyebabkan rakyat melakukan tindakan sendiri yang akhirnya menimbulkan kesan-kesan negatif yang tidak diinginkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membacakan Deklarasi Kuala Lumpur: Solidariti Bersama Pelarian di Dewan International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS), di sini, hari ini.
Tambahnya, walaupun Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, negara ini mempunyai pengalaman dalam menguruskan kehadiran pelbagai komuniti pelarian termasuk dari Vietnam, Kemboja, Bosnia, Syria dan Palestin.
Katanya, pengalaman tersebut membuktikan Malaysia berupaya menangani isu kemanusiaan secara pragmatik tanpa menjejaskan kepentingan negara dan masyarakat tempatan.
Beliau berkata persidangan itu turut menghimpunkan wakil NGO, aktivis kemanusiaan, ahli akademik serta pihak yang terlibat secara langsung dengan komuniti pelarian bagi mendapatkan gambaran yang lebih menyeluruh mengenai isu berkenaan.
Menurutnya, hasil perbincangan dan resolusi yang dicapai dijangka akan dibawa kepada pelbagai pihak berkepentingan termasuk Ahli Parlimen, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Kita cuba engage supaya perkara ini nanti kita akan berikan kepada Ahli Parlimen dan berusaha untuk adakan perbincangan susulan dengan pihak-pihak berkepentingan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, deklarasi berkenaan turut menyeru agar dasar berkaitan pelarian dirangka berasaskan prinsip kemanusiaan, keadilan dan tanggungjawab bersama tanpa mengabaikan aspek keselamatan serta kepentingan negara.
Persidangan tersebut diadakan bersempena Hari Pelarian Sedunia yang disambut pada 20 Jun setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran mengenai cabaran yang dihadapi komuniti pelarian di seluruh dunia.