FOXBOROUGH: Jurulatih Maghribi Mohamed Ouahbi tampil mempertahankan Achraf Hakimi selepas kapten pasukan itu diejek dan dibu oleh penonton ketika perlawanan menentang Scotland dalam aksi Piala Dunia pada Jumaat yang dimenangi pasukan dari Afrika itu dengan jaringan 1-0, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Perlawanan itu berlangsung hanya beberapa jam selepas sebuah mahkamah di Perancis mengumumkan bahawa pemain pertahanan Paris Saint-Germain itu perlu dibicarakan atas pertuduhan merogol.
Sebahagian penonton mula bersiul dan mengebu Hakimi sebaik sahaja nama pemain itu diumumkan dalam kesebelasan utama Maghribi, dan tindakan sama berulang setiap kali beliau menyentuh bola.
"Kami tidak membincangkan perkara itu dan kami juga tidak perlu berbuat demikian. Kami berdiri teguh di belakangnya. Diharapkan beliau dapat membuktikan pada Piala Dunia kali ini bahawa beliau adalah pertahanan kanan terbaik di dunia," kata Ouahbi.
Rakan sepasukan yang lain enggan mengulas mengenai kes berkenaan, manakala Ouahbi lebih gemar melihat isu itu dari sudut sukan.
"Hakimi sangat kuat. Kami berada dalam keadaan tenang, begitu juga dengan beliau yang kekal tenang dan beraksi dengan baik," katanya.
Terdahulu pada Jumaat, Mahkamah Rayuan Versailles memutuskan bahawa Hakimi mesti dibicarakan atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 24 tahun di kediamannya pada 2023.
Laporan media Perancis menyatakan bahawa Hakimi sebelum ini telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan yang dibuat oleh hakim penyiasat.
Hakimi bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan dan memuat naik hantaran di media sosial selepas keputusan mahkamah itu dengan menyatakan, "akhirnya, saya akan dapat bersuara."
-- BERNAMA-dpa