Skip to main content

Malaysia

Jangan jadikan AI ‘doktor sendiri’, perlu rujuk pakar - Dr Dzulkefly

TB_DZULKEFLY AHMAD MOH KKM_AWANI
Dr Dzulkefly mengingatkan, sebarang simptom atau gejala penyakit perlu dirujuk segera kepada pengamal perubatan bertauliah sama ada di fasiliti kesihatan awam mahupun swasta. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan supaya tidak menjadikan kecerdasan buatan (AI) sebagai rujukan untuk melakukan saringan atau membuat penilaian sendiri terhadap masalah kesihatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menegaskan, sebarang simptom atau gejala penyakit perlu dirujuk segera kepada pengamal perubatan bertauliah sama ada di fasiliti kesihatan awam mahupun swasta.

Menurut beliau, aspek kesihatan dan keselamatan tidak boleh dipandang ringan meskipun penggunaan AI semakin meluas.

“Saya dengar isu ini sudah dibawa dalam perbincangan di domain awam, penggunaan AI. Saya kira dalam hal kesihatan, keselamatan tidak boleh diambil begitu mudah.

“Saya menggesa, seandainya apa pun masalah kesihatan, segeralah merujuk kepada pengamal perubatan sama ada di pihak awam mahupun swasta, sama ada di klinik-klinik GP ataupun klinik-klinik kami, dan hospital-hospital awam.”

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat diagnosis atau saringan kesihatan sendiri dengan bergantung kepada AI.

"Macam mana pun AI-nya, jangan kita ambil ia sebagai sumber untuk membuat apa-apa keputusan, termasuk yang sifatnya menyaring.

“Saya tegaskan, andainya bergejala, segera merujuk kepada doktor bertauliah, sama ada di sektor awam ataupun swasta." ujar beliau.

Dr Dzulkefly demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Cik Era Naik MRT di MRT Putrajaya, di ibu negara, pada Sabtu.

Must Watch Video

Advertisement