Skip to main content

Malaysia

'New Bar Course' bakal ganti CLP, perkukuh latihan bakal peguam - Kulasegaran

41740379299_tbMKulasegaran.jpg
Kulasegaran berkata Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (LPQB) memaklumkan bahawa kajian kurikulum Common Bar Course (CBC) telah diselesaikan pada 31 Mac lepas oleh Jawatankuasa CBC. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: New Bar Course (NBC) bakal diperkenalkan bagi menggantikan Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) menerusi pendekatan baharu yang memberi penekanan lebih besar terhadap latihan praktikal dan kemahiran profesional.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (LPQB) memaklumkan bahawa kajian kurikulum Common Bar Course (CBC) telah diselesaikan pada 31 Mac lepas oleh Jawatankuasa CBC.

Beliau berkata jawatankuasa berkenaan turut mencadangkan agar CBC dikenali sebagai NBC, yang akan diguna pakai bagi individu bukan berkelayakan di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976, sama ada dari dalam mahupun luar negara.

"Berdasarkan NBC yang akan menggantikan Peperiksaan CLP, Lembaga Kelayakan (LPQB) akan mengadakan dua kursus yang dikenali sebagai Conversion Course (Kursus Peralihan) dan Legal Practice Postgraduate Certificate (LPPC)," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai status terkini kajian NBC dan Kajian Laluan Kerani Berartikel yang dilaksanakan oleh LPQB serta cadangan penambahbaikan terhadap sistem latihan dan laluan kemasukan ke profesion undang-undang negara.

Mengulas lanjut, Kulasegaran berkata Conversion Course merupakan program peralihan selama tiga bulan secara dalam talian bagi graduan luar negara yang memerlukan pengenalan berstruktur mengenai sistem perundangan Malaysia termasuk undang-undang substantif teras.

Beliau berkata kursus itu akan dikendalikan melalui Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) yang akan dibangunkan oleh LPQB dan dinilai melalui Penilaian Berasaskan Komputer (CBA).

Sementara itu, beliau berkata LPPC pula merupakan program vokasional atau praktikal selama enam bulan secara blok bagi graduan luar dan dalam negara yang memfokuskan kepada amalan kepeguaman sebelum mereka menjalani latihan dalam kamar.

"LPPC diilhamkan sebagai satu pendekatan baharu yang lebih menekankan pembangunan kemahiran praktikal berbanding Peperiksaan CLP dengan kaedah penilaian yang lebih relevan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Lembaga Kelayakan telah menubuhkan Pasukan Petugas NBC pada 27 April lepas bagi menjalankan kajian bertajuk "A Study to Develop the Operational Framework for the New Bar Course (Conversion Course and Legal Practice Postgraduate Certificate): From Policy to Practice".

Kulasegaran memaklumkan kajian tersebut bertujuan membangunkan kerangka operasi bagi NBC dan memastikan perancangan untuk merealisasikan kursus berkenaan berjalan lancar.

Pasukan petugas itu dianggotai oleh pakar daripada universiti awam, institusi pendidikan tinggi swasta serta ahli Badan Peguam Malaysia, dengan tempoh kajian selama 12 bulan bermula 1 Mei lepas hingga 30 April 2027.

Menyentuh mengenai laluan kerani berartikel, Kulasegaran berkata LPQB telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menjalankan Kajian Strategik dan Penambahbaikan Laluan Kerani Berartikel dengan tempoh kajian selama sembilan bulan bermula 1 Mac hingga 30 Nov 2026.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement