KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dijangka membuat keputusan dalam saman yang difailkan syarikat barang kemas dari Lubnan, terhadap Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan tuntutan bernilai AS$14.57 juta (RM68.3 juta).
Kes berkenaan berkait dakwaan berhubung kehilangan lebih 40 barang kemas yang didakwa dipinjamkan kepada isteri bekas Perdana Menteri.
Pada hari pertama perbicaraan 13 April lalu, Hakim Chew Soon mendengar keterangan pengasas Global Royalty, Samer Hassim Halimeh selaku saksi plaintif diikuti Rosmah selaku defendan.
Ketika memberi keterangan, Rosmah menafikan, beliau mengabai atau enggan memulangkan lebih 40 barang kemas yang hilang kepada syarikat barang kemas dari Lubnan itu.
Sementara itu, pada prosiding 15 April lalu, Hakim Datuk Quay Chew Soon menetapkan tarikh hari ini selepas pendengaran kes saman terbabit selesai dengan Chong Tong Leong yang juga saksi keenam bagi Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia selaku pihak ketiga dalam kes saman itu, selesai memberi keterangan.
Hakim Chew Soon juga dijangka memutuskan sama ada Ketua Polis Negara serta kerajaan yang dinamakan Rosmah sebagai pihak ketiga dalam saman tersebut, perlu memikul sebarang tanggungjawab atau menyumbang kepada pembayaran ganti rugi sekiranya tuntutan plaintif dibenarkan.
Pertikaian itu melibatkan 44 barangan kemas yang menurut Global Royalty Trading SAL dihantar kepada Rosmah secara konsainan untuk tujuan penilaian dan tontonan, namun didakwa gagal dipulangkan semula.
Rosmah pula mempertahankan pendiriannya bahawa barang kemas berkenaan hilang selepas beberapa serbuan polis dilakukan di Pavilion Residences susulan Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei 2018.
Operasi berkenaan dijalankan sebagai sebahagian daripada siasatan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sepanjang perbicaraan, mahkamah mendengar keterangan beberapa saksi termasuk Pengarah Urusan Global Royalty Trading SAL, Samer Hassib Halimeh, Rosmah sendiri serta pegawai-pegawai polis yang terlibat dalam siasatan dan operasi serbuan tersebut.
Antara saksi penting yang tampil memberi keterangan ialah bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, dan Asisten Komisioner Foo Wei Min dari Bahagian Siasatan Pengubahan Wang Haram Bukit Aman.
Mahkamah turut dimaklumkan bahawa pada 17 Mei 2018, polis terlebih dahulu menggeledah unit kediaman milik anak-anak Datuk Seri Najib Tun Razak, namun tidak menemui sebarang barangan yang berkaitan dengan siasatan.
Pasukan penyiasat kemudian memeriksa sebuah unit yang tidak didiami dan sedang menjalani kerja pengubahsuaian, yang didaftarkan atas nama ahli perniagaan Tan Sri Bustari Yusuf.
Dalam serbuan itu, polis menyita 71 beg, sebuah kotak plastik serta 284 kotak yang mengandungi beg tangan.
Menurut keterangan saksi polis, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan beg dan kotak berkenaan dipindahkan ke unit tersebut antara 11 Mei hingga awal pagi 12 Mei 2018.
Mahkamah juga diberitahu hanya satu daripada 44 barang kemas yang menjadi tuntutan Global Royalty berjaya dikenal pasti ketika pemeriksaan dilakukan terhadap barangan yang disimpan di Bank Negara Malaysia.
Barang kemas itu, iaitu gelang berlian zamrud, kemudiannya dipulangkan kepada syarikat terbabit.
Global Royalty memfailkan saman pada 26 Jun 2018 bagi menuntut perintah mahkamah supaya Rosmah memulangkan semua barang kemas yang dihantar untuk tujuan tontonan, termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang serta sebuah tiara.
Pada 29 Mac 2023, Bernama melaporkan bahawa syarikat yang berpangkalan di Beirut itu mendakwa, Rosmah memberi gambaran tidak benar apabila menyatakan 44 barang kemas berkenaan telah dirampas pihak berkuasa Malaysia mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Menurut syarikat itu, hanya satu daripada 44 barangan kemas tersebut berada dalam simpanan pihak berkuasa, manakala baki 43 lagi tidak pernah berada di bawah kawalan polis.
Global Royalty turut mendakwa Rosmah cuba meletakkan tanggungjawab kehilangan barang kemas itu kepada Kerajaan Malaysia sedangkan, menurut syarikat berkenaan, barangan tersebut sebenarnya telah hilang.