Skip to main content

Malaysia

Mufti Sarawak sifatkan umrah tajaan Raja Salman satu penghormatan

MUFTI SARAWAK, DATUK KHALIDI IBRAHIM
Khalidi (gambar kecil) yang dilantik sebagai ketua delegasi Program Umrah Tetamu Raja Salman menyifatkan pemilihannya sebagai tetamu Raja Salman Abdulaziz Al Saud sebagai satu penghormatan besar dan rezeki yang amat disyukuri.

SEPANG: Mufti Sarawak, Datuk Khalidi Ibrahim yang dilantik sebagai ketua delegasi Program Umrah Tetamu Raja Salman menyifatkan pemilihannya sebagai tetamu Raja Salman Abdulaziz Al Saud sebagai satu penghormatan besar dan rezeki yang amat disyukuri.

Beliau berkata, penyertaan menerusi program khas anjuran kerajaan Arab Saudi itu mempunyai nilai yang tersendiri, selain menjadi platform penting untuk mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi.

Menurutnya, program tersebut juga berpotensi memperkasa usaha dakwah serta mempereratkan kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang keagamaan.

"Saya pertama kali menunaikan haji pada tahun 1990. Selepas kembali ke Malaysia, saya berkhidmat di Lembaga Tabung Haji sebagai Ketua Agama. Tahun lalu, saya sekali lagi menunaikan haji menggunakan kuota Tabung Haji.

"Namun, pengalaman kali ini amat berbeza kerana dipilih sebagai tetamu Penjaga Dua Masjid Suci. 

"Ia merupakan satu penghargaan yang sangat besar kepada kami dan saya percaya program ini akan terus merapatkan hubungan antara kerajaan Arab Saudi dan kerajaan Malaysia dalam memperkasakan usaha dakwah, Insya-Allah."

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelepasan peserta Program Umrah Tetamu Raja Salman di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Rabu.

Datuk Khalidi merupakan antara 33 rakyat Malaysia yang terpilih menyertai program berkenaan yang ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Arab Saudi di bawah Program Tetamu Penjaga Dua Masjid Suci untuk Haji, Umrah dan Lawatan.

Program itu dilihat sebagai satu daripada inisiatif diplomasi rakyat yang mampu memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi, selain memberi peluang kepada peserta berinteraksi dengan tetamu dari pelbagai negara dan mengikuti pelbagai pengisian keagamaan.

Must Watch Video

Advertisement