Skip to main content

Malaysia

Mohamad Hasan tiba di New Delhi bagi Mesyuarat Menteri Luar BRICS

[TB]_TOKMAT DELHI_ASTRO AWANI
Menteri Luar Negeri itu dijadual menyampaikan kenyataan negara dalam dua sesi utama Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri BRICS pada 14 dan 15 Mei. - Foto Suruhanjaya Tinggi Malaysia, New Delhi

NEW DELHI: Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan tiba di New Delhi kira-kira jam 10 malam waktu tempatan pada Rabu bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri BRICS 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula Khamis.

Ketibaan beliau disambut Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Datuk Muzafar Shah Mustafa.

Lawatan kerja itu adalah bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri BRICS yang menjadi antara platform persediaan utama menjelang Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS pada September depan.

Sepanjang mesyuarat itu, Mohamad dijadual menyampaikan kenyataan negara dalam dua sesi utama iaitu “BRICS@20: Building for Resilience, Innovation, Cooperation and Sustainability” serta “Reforms of Global Governance and Multilateral System”.

Antara fokus yang dijangka diketengahkan Malaysia termasuk isu multilateralisme, keselamatan tenaga, reformasi tadbir urus global, rantaian bekalan antarabangsa serta kepentingan negara-negara membangun.

Mesyuarat BRICS kali ini berlangsung ketika konflik di Asia Barat terus mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan global termasuk gangguan rantaian bekalan, pasaran tenaga dan laluan perdagangan antarabangsa.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi juga dijangka menghadiri mesyuarat berkenaan bersama menteri-menteri luar negara anggota dan negara rakan BRICS lain.

Malaysia menghadiri mesyuarat itu sebagai Negara Rakan BRICS sejak 1 Januari 2025 dalam usaha memperkukuh kerjasama ekonomi, perdagangan, pelaburan dan pembangunan mampan dengan blok ekonomi berkenaan.

Must Watch Video