Skip to main content

Bisnes

TVET bukan lagi pilihan kedua, industri perlu lebih ramai tenaga mahir

TB_KHAZANAH NASIONAL LTAT KWSP_AWANI
Dari kiri: Mohamed Nasri, Ahmad Zulqarnain dan Mohammad Ashraf.

SEREMBAN: Persepsi bahawa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan pilihan kedua perlu diubah kerana industri kini semakin memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi tuntutan ekonomi moden.

Pemimpin syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) menggesa penglibatan lebih kukuh sektor swasta dalam pendidikan TVET, dengan menegaskan bahawa kerjasama industri adalah kunci dalam mengubah persepsi lama terhadap kerjaya vokasional.

Ketua Pegawai Korporat dan Penasihat Undang-Undang Khazanah Nasional Berhad, Datuk Mohamed Nasri Sallehuddin berkata, jurang persepsi antara laluan akademik dan TVET perlu dikurangkan supaya majikan dapat melihat potensi graduan TVET setanding, malah dalam sesetengah bidang lebih diperlukan berbanding laluan pendidikan konvensional.

“Negara-negara maju seperti Jerman telah membuktikan bahawa TVET memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi, justeru Malaysia juga perlu bergerak ke arah yang sama dengan sokongan kerajaan, industri dan majikan,” katanya.

Menurutnya, kejayaan program pembangunan bakat seperti BAKAT MADANI bukan hanya diukur melalui jumlah penyertaan, tetapi sejauh mana peserta mampu memegang jawatan penting dan memenuhi keperluan tenaga kerja negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, perkembangan teknologi dan landskap pekerjaan yang semakin berasaskan kemahiran teknikal menjadikan TVET sebagai laluan kerjaya yang semakin relevan dan berdaya saing, termasuk dalam sektor-sektor berpendapatan tinggi.

“Pada pandangan saya, kita tidak sepatutnya lagi melihat TVET sebagai laluan kelas kedua. Sebenarnya banyak peluang pekerjaan yang ada dalam bidang ini, malah ada yang menawarkan gaji yang tinggi selaras dengan keperluan industri semasa,” katanya.

Beliau berkata, selain membuka peluang pekerjaan, latihan TVET juga memberi ruang kepada golongan muda untuk berkembang sebagai usahawan kerana kemahiran teknikal yang dimiliki boleh diterjemahkan kepada perniagaan sendiri pada masa hadapan.

Katanya, pengalaman yang diperoleh melalui program-program ini bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan, malah menjadikan Curriculum Vitae (CV) mereka lebih kompetitif di pasaran kerja, khususnya apabila mereka telah melalui latihan praktikal dan pendedahan industri secara langsung.

Dalam pada itu, Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi berkata, permintaan terhadap tenaga kerja teknikal dijangka terus meningkat sejajar peralihan negara ke arah industri bernilai tambah tinggi yang memerlukan kepakaran khusus, sekali gus menjadikan TVET sebagai antara sumber utama bakat negara pada masa hadapan.

Katanya ekosistem LTAT memberi tumpuan kepada usaha memadankan semula kemahiran bekas anggota tentera dengan keperluan industri melalui pendekatan “talent matching”, bagi memastikan pengalaman luas mereka dalam bidang teknikal, logistik dan operasi dapat dimanfaatkan secara optimum dalam sektor pekerjaan awam.

“LTAT turut melaksanakan pelbagai program pembangunan kerjaya dan latihan semula termasuk bagi graduan baharu serta anggota keluarga tentera, dengan memberi penekanan kepada peningkatan kemahiran yang selari dengan kehendak industri semasa,” katanya.

“Ramai dalam kalangan bekas anggota mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam perkhidmatan, namun belum semestinya memiliki kelayakan akademik formal. Justeru, melalui pendekatan work-based learning dan akreditasi kemahiran, kita mahu pastikan mereka juga diiktiraf serta mampu bersaing dalam pasaran kerja,” katanya.

Mereka memberi pandangan tersebut ketika ditemui media ketika Majlis Pelancaran BAKAT MADANI  di d'Tempat Country Club, Jalan Pusat Dagangan Sendayan pada Isinin. 

Inisiatif BAKAT MADANI, sebuah ikhtiar nasional yang menghimpunkan
Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC)
dan PETRONAS dalam memperkasakan pembangunan bakat negara.

Dengan kekuatan kolektif ketiga-tiga kumpulan strategik ini, BAKAT MADANI menyasarkan dalam tempoh setahun mulai pertengahan tahun 2026, seramai 25,000
individu akan berpeluang mengikuti pembangunan kemahiran, pekerjaan berkualiti
serta mobiliti sosial yang lebih baik.

Must Watch Video

Advertisement