Skip to main content

Malaysia

Melaka cadang bina tangki air sementara di Kem Terendak atasi isu bekalan air

Sumber: RAIS YASIN
Kerajaan Negeri Melaka menerusi Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) bercadang membina tangki air sementara di Kem Terendak, Sungai Udang, sebagai pelan jangka pendek bagi mengatasi isu bekalan air yang kerap berlaku di dalam kem berkenaan. - Gambar ihsan Rais Yasin

MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka menerusi Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) bercadang membina tangki air sementara di Kem Terendak, Sungai Udang, sebagai pelan jangka pendek bagi mengatasi isu bekalan air yang kerap berlaku di dalam kem berkenaan.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, langkah itu perlu dilakukan sementara menunggu Projek Pembangunan dan Naik Taraf Sistem Retikulasi Air di Kem Terendak yang dijangka siap pada April 2028.

Rais yang juga penyelaras Dewan Undangan Negeri Sungai Udang berkata, bagaimanapun, pembinaan tangki air berkenaan bergantung kepada kelulusan Kementerian Pertahanan (MINDEF).

"Isu air dalam Kem Terendak adalah di bawah pengurusan atau bidang kuasa Jabatan Kerja Raya dan MINDEF namun kerajaan negeri melalui SAMB komited untuk membantu penduduk dan warga tentera serta keluarga terjejas.

"Kerajaan negeri melalui SAMB akan mengusulkan cadangan berkenaan kepada MINDEF dan akan mencari tempat yang sesuai untuk menempatkan tangki air sementara itu selain menghantar tangki air bergerak," katanya. 

Beliau berkata kepada pemberita selepas Sesi Penyerahan Dua Tangki Air 5,000 Liter SAMB kepada pihak Kem Terendak, yang turut dihadiri Pegawai Memerintah Markas Garison Terendak, Lt Kol Annuar Kaliman dan Ketua Pegawai Eksekutif SAMB, Datuk Mohd Saleh Jusman.

Terdahulu, Rais berkata, kira-kira 2,000 warga tentera dan isi rumah serta lima sekolah termasuk sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dalam kem itu terjejas ekoran gangguan bekalan air sejak lima hari lepas.

Beliau berkata, gangguan itu susulan kejadian paip bocor yang agak teruk di Jalan Kampung Payasum di Sungai Udang di sini, dengan kerja-kerja membaikinya dijangka selesai malam ini.

Bagaimanapun, katanya, bekalan air ke kem tersebut dijangka mengambil masa pulih sepenuhnya antara satu ke dua hari lagi.

"Bagi membantu meringankan beban mereka terjejas, SAMB menghantar bantuan bekalan air sebanyak 25,000 gelen air menggunakan 25 lori tangki sejak semalam dan ia belum mencukupi kerana dianggarkan kira-kira 2,000 warga tentera dan isi rumah terjejas.

"Kita juga telah menghantar tong berisi air untuk kegunaan warga sekolah agar aktiviti harian mereka tidak terjejas dan saya memohon maaf kepada semua warga Kem Terendak serta keluarga terkesan," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement