KUALA LUMPUR: Pendaki yang tersesat di kawasan gunung atau hutan dinasihatkan untuk tidak panik serta mengelakkan diri daripada terus bergerak tanpa arah.
Pengerusi Persatuan Malim Gunung Hulu Selangor, Nor Azmi Mohd Roslan berkata, kesilapan paling biasa dilakukan pendaki yang sesat ialah cuba mencari jalan keluar sendiri, sehingga akhirnya menyimpang lebih jauh dari laluan asal.
“Langkah pertama yang mereka perlu buat ialah berhenti atau perlahankan pergerakan, tunggu untuk bergabung dengan kumpulan lain di belakang.
"Jangan teruskan perjalanan tanpa hala tuju kerana itu boleh menyebabkan mereka masuk lebih jauh ke dalam hutan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini, pada Khamis.
Tambah Nor Azmi, sekiranya pendaki masih dapat mengingati lokasi awal mereka mula tersesat, mereka boleh cuba kembali ke lokasi tersebut, namun jika gagal, tindakan paling selamat ialah kekal di satu tempat.
“Kalau ada wisel, gunakan wisel atau buat bunyi-bunyian sama ada jerit, goyangkan ranting, ketuk batang pokok dan sebarang ikhtiar untuk memudahkan pendaki lain mengesan lokasi,” jelasnya.
Menurut beliau, pendaki juga digalakkan menggunakan fungsi perkongsian lokasi telefon bimbit sekiranya masih mempunyai talian dan bateri mencukupi.
“Sekarang ini kita boleh kongsi lokasi melalui WhatsApp. Ia sangat penting kerana ia mempercepatkan usaha mengesan mangsa.
"Sebab itu penting untuk gunakan bateri telefon secara berhemah ketika di dalam hutan, simpan untuk situasi kecemasan dan bawa powerbank,” katanya.
Selain itu, Nor Azmi menjelaskan keadaan hutan yang mempunyai banyak denai haiwan juga boleh mengelirukan pendaki kerana sesetengah laluan kelihatan seperti trek utama.
Selain itu, faktor keletihan melampau turut menyumbang kepada risiko seseorang tersesat ketika mendaki.
“Bila orang sudah terlalu penat, dia mula hilang fokus dan sekadar berjalan tanpa melihat persekitaran sekeliling.
"Sentiasa perhatikan keadaan ahli kumpulan yang lain, kita boleh tengok daripada cara pergerakan, ekspresi wajah dan ritma pernafasan seseorang.
"Kalau pernafasan sudah terlalu kuat dan tidak stabil, itu petanda dia mungkin berdepan kelesuan serta harus dibantu segera,” katanya.
Selain itu, dehidrasi, hipotermia dan kecederaan akibat terjatuh merupakan antara ancaman paling besar ketika seseorang itu tersesat di dalam hutan.
“Bila sudah sesat, jangan bergerak terlalu agresif kerana tenaga akan cepat habis dan risiko dehidrasi meningkat.
"Satu lagi, apabila kita berada di tempat tinggi ini, badan pula berpeluh akibat aktiviti lasak, maka cuaca sejuk akan cepat menurunkan suhu badan kita yang menyebabkan hipotermia.
“Selain itu, bentuk muka bumi yang tidak dikenali boleh menyebabkan seseorang jatuh gaung atau tersadung akar sehingga mengalami kecederaan serius,” katanya.
Dalam pada itu, Nor Azmi berkata orang ramai yang mahu berjinak-jinak dengan aktiviti pendakian perlu membuat persediaan rapi.
Katanya, pendaki perlu melakukan kajian awal mengenai tahap kesukaran trek selain memastikan kecergasan fizikal berada pada tahap optimum.
"Bawa peralatan asas seperti lampu suluh, bekalan makanan dan air yang lebih daripada mencukupi untuk situasi kecemasan. Ini perkara sering dipandang ringan oleh pendaki baharu,” katanya.
Pada Selasa, seorang remaja perempuan, Nur Izzati Humaira Azizul yang dilaporkan hilang selepas dipercayai tersesat selama tiga hari ketika menuruni Bukit Changkat Asa, di Hulu Selangor, ditemukan meninggal dunia.
Dalam kejadian berasingan, seorang lagi wanita, Jaslinda Saludin, 49, tersesat ketika menyertai pendakian Trans Spencer Chapman bermula di Tapah pada jam 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang belum ditemui, kini memasuki hari keenam. Pasukan SAR menemukan petunjuk barangan mangsa, dipercayai membawa jejak ke arah Gunung Rayu.