KUALA LUMPUR: Kejayaan syarikat kandungan animasi MONSTA muncul sebagai finalis WIPO Global Awards 2026 membuktikan syarikat tempatan mampu bersaing di peringkat global menerusi strategi perlindungan, pengurusan dan pengkomersialan harta intelek (IP) berkesan.
Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Yusnieza Syarmila Yusoff berkata kejayaan itu mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa dan membuktikan aset IP yang dibangunkan dalam negara mempunyai nilai komersial serta impak global tinggi.
Beliau berkata pencapaian MONSTA turut mengukuhkan pengiktirafan antarabangsa terhadap keupayaan syarikat tempatan selepas syarikat itu sebelum ini meraih tiga anugerah utama pada Anugerah Harta Intelek Negara 2026 dalam kategori Organisasi Pengurusan Harta Intelek, Juara Jenama (Cap Dagangan) dan Nadi Kreatif (Hak Cipta).
"WIPO Global Awards bukan sekadar pengiktirafan kecemerlangan, malah menjadi platform tertinggi dunia yang membuktikan bagaimana pengurusan IP secara strategik mampu mengubah idea kreatif menjadi aset komersial bernilai tinggi.
“Bagi edisi WIPO Global Awards 2026, Malaysia mencatatkan pencapaian luar biasa dengan merekodkan bilangan penyertaan tertinggi sejak ia diperkenalkan menerusi penghantaran profil daripada 27 syarikat tempatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusnieza Syarmila berkata lonjakan prestasi itu meletakkan Malaysia dalam kelompok 10 negara teratas dunia dengan jumlah permohonan tertinggi, sebaris dengan China, Amerika Syarikat, India dan Korea Selatan dalam usaha memanfaatkan IP sebagai pemangkin pertumbuhan organisasi.
Beliau berkata penyertaan Malaysia merangkumi pelbagai sektor ekonomi utama termasuk agromakanan, alam sekitar, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan industri kreatif serta kesihatan, sekali gus mencerminkan landskap inovasi negara yang semakin berkembang.
Selain itu, data penyertaan menunjukkan tahap inklusiviti yang positif apabila 41 peratus daripada syarikat mengambil bahagian diterajui usahawan wanita manakala 19 peratus lagi diterajui usahawan belia.
"Perkembangan ini membuktikan bahawa harta intelek kini menjadi elemen strategik merentas pelbagai industri dan selari dengan aspirasi yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 untuk memacu ekonomi bernilai tinggi berteraskan inovasi domestik," katanya.
Yusnieza Syarmila berkata MyIPO akan terus memperkukuh peranannya dalam membantu lebih banyak syarikat tempatan memanfaatkan harta intelek sebagai aset strategik perniagaan bagi meningkatkan daya saing global selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Beliau berkata WIPO baru-baru ini menyenarai pendek 33 finalis antarabangsa dari 126 negara bagi WIPO Global Awards 2026, dengan pemenang dijadual diumumkan sempena WIPO General Assembly 2026 yang akan berlangsung di Geneva, Switzerland pada awal Julai depan.
-- BERNAMA