Skip to main content

Malaysia

Malaysia, Kemboja bincang pelaksanaan MoU pembangunan informasi, media

𝐌𝐞𝐬𝐲𝐮𝐚𝐫𝐚𝐭 𝐃𝐮𝐚 𝐇𝐚𝐥𝐚 𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚–𝐊𝐞𝐦𝐛𝐨𝐣𝐚 𝐏𝐞𝐫𝐤𝐮𝐤𝐮𝐡 𝐊𝐞𝐫𝐣𝐚𝐬𝐚𝐦𝐚 𝐃𝐚𝐥𝐚𝐦 𝐁𝐢𝐝𝐚𝐧𝐠 𝐌𝐚𝐤𝐥𝐮𝐦𝐚𝐭 𝐝𝐚𝐧 𝐌𝐞𝐝𝐢𝐚_
Bahria (kiri) mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat dua hala antara Malaysia dan Kemboja sempena 23rd Meeting of the ASEAN SOMRI bersama-sama delegasi Kemboja diketuai oleh Amida (kanan) di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam, Brunei, 24 Jun 2026. - Facebook Kementerian Komunikasi

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Kemboja mengadakan mesyuarat dua hala bagi membincangkan pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Pembangunan Informasi dan Media yang dimeterai sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Kementerian Komunikasi memaklumkan bahawa mesyuarat dua hala itu diadakan sempena Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN yang Bertanggungjawab terhadap Maklumat (SOMRI) ke-23 di Bandar Seri Begawan, Brunei pada Rabu.

“Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Datuk Bahria Mohd Tamil mengetuai delegasi ke mesyuarat dua hala antara Malaysia dan Kemboja yang diketuai oleh Setiausaha Negara Kementerian Penerangan Kemboja Prak Thaveak Amida,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.

Menurut Kementerian Komunikasi, kedua-dua negara turut bertukar pandangan mengenai pelbagai aspek kerjasama dalam bidang pertukaran maklumat, pembangunan media, transformasi digital serta usaha memperkukuh integriti maklumat dan menangani cabaran landskap media semasa pada mesyuarat itu.

“Malaysia komited untuk memperkukuh hubungan kerjasama dengan Kemboja menerusi pelaksanaan inisiatif strategik, sekali gus memajukan sektor maklumat dan media serta mempererat hubungan persahabatan antara kedua-dua negara,” katanya.

Pada 20 Jun, Malaysia dan Kemboja memeterai MoU mengenai Kerjasama Pembangunan Informasi dan Media, membuka jalan kepada kerjasama lebih erat dalam pelbagai bidang media dan komunikasi.

MoU itu ditandatangani ad referendum oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Amida bagi pihak Menteri Penerangan Kemboja Neth Pheaktra.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement