KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) antara institusi terawal di negara ini yang melaksanakan program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) khusus untuk imam dan pegawai masjid.
Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata program itu dilaksanakan menerusi Akademi Latihan Al-Muhammadi dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran.
Beliau berkata program berkenaan merangkumi Kursus Pengoperasian Masjid Tahap 1 dan Kursus Penyelarasan Operasi Masjid Tahap 2 bagi meningkatkan kompetensi serta profesionalisme pegawai masjid dalam aspek pengurusan dan pentadbiran masjid.
“Program yang berlangsung selama kira-kira empat bulan ini memberi penekanan kepada latihan berasaskan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan, sekali gus menyediakan laluan kemahiran yang diiktiraf di peringkat kebangsaan.
“Melalui sijil kemahiran ini, imam dan pegawai masjid bukan sahaja berupaya mengurus institusi masjid dengan lebih berkesan, malah kemahiran yang diperoleh boleh dimanfaatkan sekiranya mereka memilih untuk menceburi bidang kerjaya lain pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Graduasi SKM dan Tamat Program Murajaah Hafazan al-Quran MAIK di sini hari ini.
Tengku Mohamad Rizam berkata setakat ini sebanyak 38 peserta berjaya menamatkan program SKM, dengan 22 orang mengikuti Kursus Pengoperasian Masjid Tahap 1 dan 16 orang menamatkan Kursus Penyelarasan Operasi Masjid Tahap 2.
Beliau berkata 16 peserta lagi dijadual mengikuti program Tahap 3 dalam masa terdekat, manakala penyertaan akan terus diperluas secara berperingkat memandangkan setiap sesi latihan dihadkan kepada 30 peserta.
“Kita berharap program ini menjadi pemangkin kepada peningkatan mutu pengurusan dan pengimarahan masjid di Kelantan secara lebih profesional, sistematik dan berkesan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata MAIK turut melaksanakan Program Murajaah Hafazan al-Quran bagi memartabatkan al-Quran yang berlangsung dari Mei 2025 hingga April lepas, membabitkan 35 masjid di seluruh Kelantan.
-- BERNAMA