ALOR GAJAH: Seorang lelaki melecur kira-kira 50 peratus pada anggota badan selepas terkena letupan dipercayai berpunca daripada kebocoran gas petroleum cecair (LPG) di rumahnya di Taman Baiduri, Kuala Ina di sini hari ini.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Penolong Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.26 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati seorang lelaki berusia 29 tahun yang juga penyewa rumah berkenaan mengalami kecederaan selepas berlaku letupan secara tiba-tiba di bahagian dapur rumah itu.
“Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) JBPM memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dan dibawa ke Hospital Tampin untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkhairani berkata sebelum kejadian, mangsa yang difahamkan baru pulang dari kampungnya di Pahang, mendengar bunyi dipercayai berpunca daripada kebocoran gas di dalam rumah dan membuat pemeriksaan terhadap tong gas memasak.
Beliau berkata ketika mangsa melakukan pemeriksaan, berlaku satu letupan secara tiba-tiba yang menyebabkannya mengalami kecederaan melecur dan kerosakan serius pada rumah berkenaan.
“Letupan itu menyebabkan kerosakan pada bahagian bumbung rumah selain menjejaskan struktur bangunan, termasuk pintu, tingkap, siling dan pendawaian elektrik.
“Operasi pemantauan dan pemeriksaan keselamatan turut dijalankan bagi memastikan tiada risiko kebocoran gas susulan selain membantu siasatan berhubung kejadian itu,” katanya.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian disyaki berpunca daripada kebocoran gas LPG yang terkumpul di dalam rumah sebelum berlaku letupan dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi menentukan punca sebenar kejadian.
-- BERNAMA