Skip to main content

Malaysia

Lelaki maut bertembung penunggang motosikal cuba lari sekatan jalan raya

71650192192_MotorsikalKemalangan.jpg
Seorang penunggang motosikal maut apabila bertembung dengan seorang penunggang motosikal lain yang melawan arus bagi mengelak sekatan jalan raya (SJR) awal pagi tadi. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Seorang penunggang motosikal maut apabila bertembung dengan seorang penunggang motosikal lain yang melawan arus bagi mengelak sekatan jalan raya (SJR) awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata kejadian berlaku di Jalan Dewan Bahasa pada 2.30 pagi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati seorang lelaki berumur 21 tahun yang menunggang motosikal Yamaha dipercayai telah bertindak berpatah balik dan menunggang secara melawan arus selepas menyedari sekatan jalan raya oleh pihak polis.

"Tindakan itu menyebabkan motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah motosikal lain jenis SYM yang ditunggang oleh seorang lelaki berusia 47 tahun pada jarak 50 meter dari lokasi SJR.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zamzuri berkata penunggang motosikal Yamaha terbabit bertindak melawan arus bagi mengelak daripada melalui SJR kerana motosikal yang ditunggangnya mempunyai aksesori yang tidak lengkap. 

Beliau berkata ujian alkohol dan ujian saringan awal air kencing terhadap penunggang motosikal Yamaha didapati negatif dan kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

JSPT Kuala Lumpur menasihati semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas dan tidak sesekali bertindak melawan arus atau mengambil tindakan berbahaya semata-mata untuk mengelakkan pemeriksaan pihak berkuasa. 

"Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee menerusi talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement