KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang berusaha mencari langkah menyelesaikan sekatan eksport udang Malaysia ke Thailand yang berlarutan sejak 2017 serta permohonan akses pasaran bagi produk ternakan negara ke Thailand yang tertunggak sejak 2024.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata perkara itu merupakan antara yang dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Keterjaminan Makanan Negara Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Mohamad berkata mesyuarat itu turut membincangkan mengenai sekatan import udang Thailand ke Malaysia yang berkuat kuasa mulai 1 Jun lepas serta pemeriksaan ketat terhadap eksport ikan siakap Malaysia ke negara berkenaan.
Pada masa sama, beliau berkata kerajaan menyedari implikasi fenomena El Nino dan perubahan iklim terhadap risiko kemarau berpanjangan yang boleh mengancam sektor pengeluaran makanan tempatan.
"Rentetan daripada cabaran krisis tersebut, pihak KPKM (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan) telah menyediakan pelbagai strategi pencegahan, penyesuaian dan perlindungan bagi pengusaha sektor pertanian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mesyuarat berkenaan bertujuan menetapkan hala tuju keterjaminan makanan negara yang lebih menyeluruh, selain mengesyorkan strategi berimpak tinggi bagi menangani pelbagai isu sektor agromakanan.
Katanya, antara inisiatif lain yang dibincangkan ialah kebolehlaksanaan dan cadangan hala tuju penghasilan sumber protein alternatif di Malaysia, usaha memperkukuh daya saing industri pertanian tempatan serta strategi memperkasakan perkhidmatan dan operasi slipway Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Mohamad berkata mesyuarat itu turut dimaklumkan mengenai penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA 2026) dari 28 Ogos hingga 6 Sept ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang.
Beliau berkata acara dwitahunan itu merupakan platform utama negara dalam memacu transformasi sektor agromakanan ke tahap lebih dinamik.
"Keterjaminan makanan adalah keutamaan nasional yang memerlukan komitmen kolektif. Justeru, pelaksanaan kerjasama strategik yang holistik antara semua pihak amat penting bagi menjamin kemampanan sistem makanan negara, sekali gus memastikan Malaysia terus berdaya tahan mendepani dinamik cabaran global," katanya.
-- BERNAMA