Skip to main content

Malaysia

Kerajaan Melaka peruntuk RM300,000 insentif kepada persatuan, NGO pelancongan

FB Ab Rauf Yusoh
Ab Rauf semasa menyampaikan insentif kepada persatuan dan NGO pelancongan di pejabatnya di Seri Negeri Ayer Keroh, hari ini. - Gambar Facebook Ab Rauf Yusoh

MELAKA: Melaka memperuntukkan RM300,000 menerusi Insentif Khas kepada persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pelancongan, seni, warisan dan budaya bagi tahun ini sebagai usaha memperkasakan peranan penggiat industri itu dalam menjayakan Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kelayakan pemohon adalah kepada persatuan dan NGO yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) serta aktif dalam bidang pelancongan, seni, warisan atau budaya.

"Kerajaan Negeri Melaka berharap pemberian insentif khas ini dapat meningkatkan peranan semua persatuan dan NGO ini sebagai rakan strategik, di samping menyuntik semangat serta meningkatkan keupayaan mereka untuk lebih proaktif dan berdaya saing.

"Usaha ini seiring dalam menyokong usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri melalui aktiviti pelancongan sempena Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan insentif kepada lapan persatuan di pejabatnya di Seri Negeri Ayer Keroh, di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua persatuan dan NGO utama negeri itu masing-masing menerima RM10,000, iaitu Persatuan Pelancongan Melaka (MTA), Persatuan Agen Kembara Malaysia (MATTA) Melaka Chapter, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Melaka Chapter dan Persatuan Hotel Bajet Malaysia Melaka (MyBHA).

Turut menerima insentif itu ialah Persatuan Pengusaha Homestay Negeri Melaka, Persatuan Pengusaha Resort dan Chalet Bumiputera Negeri Melaka, Malacca Historic City Tourist Guide Association serta Pertubuhan Teater Melaka (PERTEM).

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka Nasrul Ahmad berkata permohonan insentif itu perlu dikemukakan sebelum penghujung Oktober bagi membolehkan proses penilaian dan penyaluran bantuan diselesaikan sebelum penutupan akaun kerajaan negeri pada hujung tahun.

Beliau berkata setiap permohonan perlu disertakan borang permohonan, surat iringan dan kertas kerja program atau aktiviti yang ingin dilaksanakan sebelum dinilai oleh jawatankuasa khas yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri bersama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri.

"Jumlah bantuan yang boleh dipohon adalah antara RM5,000 hingga RM10,000 bergantung kepada penilaian terhadap kertas kerja dan program yang dicadangkan.

"Kita menjangkakan permohonan yang diterima mungkin ramai, jadi hanya persatuan yang memenuhi syarat serta mempunyai cadangan program yang bersesuaian akan dipertimbangkan," katanya.

Dalam pada itu, Nasrul berkata kerajaan negeri turut menerima sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bernilai RM150,000 daripada Bonia Corporation Berhad, meliputi wang tunai RM50,000 kepada Tabung Amanah Pelancongan dan barangan bernilai RM100,000.

Beliau berkata barangan itu akan digunakan sebagai hadiah bagi program dan acara pelancongan anjuran kerajaan negeri, selain menyifatkan kerjasama berkenaan sebagai contoh terbaik penglibatan sektor korporat dalam menyokong pembangunan industri pelancongan Melaka.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement