SHAH ALAM: Seorang lelaki yang tular kerana mengurung dan mencederakan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di sebuah pangsapuri di Bukit Kemuning minggu lalu, dihukum penjara selama 15 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, pada Jumaat.
Mohamad Fadwan Abd Muaain, 42, yang bekerja sebagai pemungut hutang dikenakan hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Wan Noora Nisa Ngadirin.
Bagi kesalahan mengurung mangsa, duda yang mempunyai seorang anak itu dihukum penjara sembilan bulan bermula Jumaat sementara kes mencederakan remaja sama, dia dihukum penjara enam bulan selepas dia selesai menjalani hukuman bagi kesalahan mengurung tersebut.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki yang memakai baju-T berwarna merah berbelang hitam tersebut, didakwa mengurung mangsa ketika kejadian berusia 14 tahun satu bulan.
Dia dituduh mengikat tangan dan kaki mangsa di sebuah unit pangsapuri di Seksyen 32 di sini, antara jam 8.05 sehingga 11.50 pagi pada 11 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, pada waktu, tarikh dan lokasi sama, dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dengan peruntukan hukuman serupa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amirah Zahari sementara tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Adli Hakim Azami.
Dalam pada itu, lelaki berkenaan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa sama di lokasi, masa dan tarikh serupa.
Susulan itu, dia dihukum di bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dihukum dengan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikenalikan Timbalan Pendakwa Raya, KS Rinisha Priyya, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Bagaimanapun, Hakim, Rasyihah Ghazali menetapkan 8 Jun depan untuk fakta kes dan jatuh hukum. -Sinar Harian