KUALA LUMPUR: Status kemajuan fizikal projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) mencatatkan pencapaian 78.1 peratus sehingga 31 Mei berbanding sasaran perancangan yang ditetapkan, iaitu 85.21 peratus dengan perbezaan 7.11 peratus.
Kementerian Pertahanan (Mindef) memaklumkan projek pembinaan aset pertahanan negara untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu juga mencatatkan jumlah perbelanjaan keseluruhan RM8.457 bilion, iaitu 76.2 peratus daripada nilai keseluruhan projek.
“Keputusan Kerajaan Norway membatalkan lesen eksport sistem Naval Strike Missile (NSM) kepada Malaysia tidak memberi kesan kepada jadual penyerahan kapal-kapal LCS seperti yang telah dijamin oleh Lumut Naval Shipyard (LUNAS) kepada Mindef,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Kementerian itu menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin tahu status terkini projek LCS, jumlah keseluruhan dana awam dibelanjakan sehingga 31 Mei, kos tambahan yang masih diperlukan untuk menyiapkan projek serta jaminan kapal pertama dapat diserahkan kepada TLDM pada Disember ini.
Mindef memaklumkan LCS masih mempunyai pelbagai keupayaan seperti peperangan antikapal selam, peperangan antiudara dan peperangan elektronik serta Combat Management System (CMS) yang mengintegrasikan semua keupayaan itu dengan sistem radar dan pengesan kapal.
“Pada masa sama, kementerian melalui TLDM sedang mengambil segala langkah bagi memastikan keupayaan Surface-to-Surface Missile kapal-kapal LCS dapat dipulihkan melalui penyelesaian yang terbaik,” menurut Mindef.
Sebelum ini, kerajaan Norway dilaporkan membatalkan lesen eksport NSM kepada Malaysia atas alasan melindungi kepentingan keselamatan negara berkenaan dan susulan itu, Mindef menghantar notis tuntutan bernilai kira-kira RM1 bilion kepada syarikat pertahanan terbabit.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini berkata isu berkenaan tidak menjejaskan tarikh penyerahan LCS milik TLDM yang kini sedang dalam pembinaan.
-- BERNAMA