KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti terlebih dahulu sama ada laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) perlu dirujuk kepada Jemaah Menteri sebelum diterbitkan kepada umum, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, perkara itu akan dibincangkan bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar sebelum keputusan dibuat sama ada laporan berkenaan boleh diterbitkan serta-merta atau perlu menunggu Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu depan.
Tegas beliau, adalah menjadi hak rakyat untuk mengetahui kandungan laporan akhir berkenaan.
"Pertama saya akan teliti dengan KSN sama ada proses harus dirujuk kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu...kalau tidak perlu, saya akan terbitkan hari ini.
"Kalau perlu, saya tunggu hari Rabu (Mesyuarat Kabinet) kerana rakyat harus tahu," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Perdana Menteri ditemui selepas merasmikan forum Humane Economy Global Discourse (HEGD) 2026 anjuran Forum Ekonomi Manusiawi (FEM) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Bertemakan "Reclaiming Humanity for Shared Prosperity", wacana antarabangsa selama dua hari itu menghimpunkan lebih 750 peserta termasuk penggubal dasar, ahli ekonomi, pemimpin perniagaan, serta ahli akademik.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pada dasarnya Jemaah Menteri sebelum ini telah memutuskan supaya laporan RCI itu diterbitkan, namun pelaksanaannya ditangguhkan ketika itu kerana TH sedang melalui proses pemulihan.
Beliau menambah, kerajaan ketika itu mengambil pendekatan berhati-hati bagi mengelakkan penerbitan laporan tersebut menimbulkan keresahan dalam kalangan pendeposit dan penyimpan TH.
"Kita letakkan Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan pasukan baharu untuk membersihkan (pengurusan TH) berdasarkan pandangan, teguran dan laporan suruhanjaya. Kalau kita lakukan terlalu awal, mungkin menimbulkan keresahan kepada pencarum dan penyimpan," ujarnya.
Mengulas sama ada kesemua lapan jilid laporan RCI akan didedahkan kepada umum, Anwar berkata, kerajaan memang berhasrat menerbitkan laporan itu selepas ia dibentangkan, namun, ditangguhkan bagi memberi ruang kepada usaha membetulkan pelbagai kelemahan dan pelanggaran peraturan yang dikenal pasti dalam pengurusan TH.
Jelasnya, selepas beberapa tahun melalui proses transformasi, TH kini telah kembali kukuh sebagai sebuah institusi yang diurus secara telus dan diaudit dengan baik.
"Jadi, pada pandangan saya, ada alasan kukuh untuk laporan itu diterbitkan. Cuma saya perlu memastikan terlebih dahulu sama ada ia perlu dibawa semula ke Jemaah Menteri atau boleh dikeluarkan serta-merta," kata Perdana Menteri lagi.
Kerajaan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk menubuhkan RCI susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Julai 2021 dan 8 Oktober 2021.
RCI itu ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu yang berbangkit berkaitan TH.