Skip to main content

Malaysia

Laporan khas Al-Arqam: Antara akidah, undang-undang dan had kuasa

LAPORAN KHAS 745 - AJARAN SESAT: ADAKAH UNDANG-UNDANG KITA CUKUP?
Dalam dunia yang semakin kompleks, garis antara kepercayaan dan ketaksuban menjadi semakin kabur. - Gambar/ Astro Awani

PERSOALAN yang dibangkitkan dalam siri kedua membawa kepada satu dimensi lain, iaitu undang-undang.

Di Nilai, saya bertemu Peguam Datuk Rosli Kamaruddin, yang berpengalaman mengendalikan kes berkaitan kumpulan tertutup dan gerakan yang berada di persimpangan antara kepercayaan, hak individu dan perundangan.

Datuk Rosli Kamaruddin - Foto Awani

 

Menurut beliau, banyak kes seperti ini sebenarnya berada dalam ruang kelabu. Yang jauh lebih kompleks daripada apa yang difahami umum.

Tiada akta khusus untuk ajaran sesat

Realitinya, Malaysia masih belum mempunyai satu akta khusus yang menyeluruh dan berkesan bagi menangani ajaran sesat atau gerakan berunsur kultus.

Tidak seperti kes keganasan yang mempunyai kerangka perundangan khusus seperti Akta Kesalahan Keselamatan (lLangkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Kanun Keseksaan atau Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

“Ada tak undang-undang khusus berkaitan ajaran sesat seperti mana kita tangani pengganas? Saya boleh katakan kita kekurangan avenue seperti ini.”

Kenyataan itu menjelaskan satu jurang penting dalam usaha penguatkuasaan.

Dua laluan undang-undang: Agama dan sivil

Bagaimanapun, ketiadaan akta khusus tidak bermakna tiada tindakan boleh diambil, sebaliknya, ia bergantung kepada dua laluan utama:

Pertama, enakmen syariah negeri yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa agama untuk menyiasat serta membawa kes ke mahkamah syariah jika terdapat pelanggaran fatwa.

Kedua, tindakan sivil - bergantung kepada bentuk kesalahan yang berlaku.

Di beberapa negeri seperti Johor, kes berkaitan ajaran menyeleweng pernah dibawa ke mahkamah, termasuk melibatkan kumpulan seperti Millah Abraham dan Hizbut Tahrir.

Apabila kepercayaan bertukar menjadu perdayaan

Namun, tidak semua kes terperangkap dalam ruang doktrin semata-mata.

Dalam realiti yang lebih membimbangkan, terdapat individu yang diseret masuk ke dalam sesebuah kumpulan melalui pelbagai helah dan perdayaan – kepercayaan dimanipulasi, keyakinan diperalatkan, sehingga akhirnya membawa kepada pengorbanan harta dan wang ringgit.

Dalam situasi sebegini, tindakan sivil boleh dipertimbangkan – namun bukan tanpa syarat. Segala dakwaan perlu disokong dengan bukti yang jelas dan kukuh.

“Ada keadaan tertentu kita dapati individu memasuki pertubuhan itu melalui pelbagai helah dan perdayaan. Ada juga yang menyumbang wang atau harta atas dasar kepercayaan untuk tujuan pertemuan.

“Dalam konteks ini, tindakan sivil boleh diambil sekiranya wujud bukti kukuh. Pemerdayaan itu membawa maksud ada unsur penipuan, ada kerugian yang boleh dinilai dari segi wang atau harta. Itu yang paling penting – bukti seperti transaksi kewangan dan seumpamanya,” jelas beliau.

 Kepercayaan yang menebal, ruang ketaksuban yang terbuka 

Perbualan bersama Rosli turut membuka satu lagi realiti yang lebih halus, namun signifikan – bagaimana kepercayaan yang terlalu tinggi boleh menjadi benteng yang sukar ditembusi.

Menurut beliau, dalam sesetengah keadaan, tahap kepercayaan masyarakat terhadap individu yang dianggap berilmu dan berautoriti agama boleh menjadi begitu kuat sehingga menutup ruang untuk mempersoal, apatah lagi meragui.

“Pertama, masyarakat Melayu ini terkenal dengan budi pekerti. Bila sudah percaya kepada seseorang, mereka cenderung untuk tidak mempersoalkan. Ini bukan sahaja dalam kes tertentu seperti GISB Holdings Sdn Bhd (GISB), tetapi lebih luas.

“Masyarakat kita mudah menyanjung individu yang dilihat mempunyai pengetahuan tinggi – ustaz-ustaz yang dianggap hebat, di mana-mana pun,” katanya.

Beliau menambah, fenomena ini bukan terhad kepada urusan keagamaan semata-mata, malah merentasi pelbagai bidang termasuk ekonomi dan perkhidmatan.

“Sehingga hari ini, ada yang memilih untuk ke Mekah melalui kumpulan tertentu yang dipimpin oleh ustaz-ustaz terkenal. Malah agensi pelancongan sendiri menggunakan figura agama ini sebagai ‘autoriti’ untuk meyakinkan pelanggan,” ujarnya lagi.

Dalam keadaan tertentu, kepercayaan itu boleh berubah menjadi ketaksuban – apabila seseorang tidak lagi menilai secara kritikal, sebaliknya menyerahkan sepenuh keyakinan kepada figura yang diikuti, tanpa soal, tanpa ragu.

Akhirnya, persoalan yang timbul bukan sekadar soal doktrin atau kepercayaan semata-mata, tetapi bagaimana keyakinan itu boleh disalahguna sehingga membawa kepada kerugian dan kerosakan yang lebih besar.

Dalam dunia yang semakin kompleks, garis antara kepercayaan dan ketaksuban menjadi semakin kabur. Tanpa sikap kritikal dan keupayaan menilai secara rasional, kepercayaan yang pada asalnya murni boleh bertukar menjadi ruang manipulasi.

Dan apabila itu berlaku, yang menjadi taruhan bukan sahaja wang atau harta… tetapi juga maruah, masa depan dan keyakinan masyarakat itu sendiri.

Saksikan siri terakhir Laporan Khas Awani: Realiti di sebalik tabir Al - Arqam hari ini di Astro Awani 7:45.

 

Must Watch Video

Advertisement