KUALA LUMPUR: Kuota 200 liter RON95 di bawah Program Budi Madani 95 (BUDI95) mungkin dikurangkan kerajaan bagi menjamin bekalan bahan api negara dalam mendepani krisis bekalan global, susulan konflik geopolitik Asia Barat.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, data semasa menunjukkan kebanyakan rakyat Malaysia menggunakan petrol di bawah paras yang dicadangkan itu.
“Data secara konsisten menunjukkan 80 peratus rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 200 liter.
"Langkah seterusnya ialah 150 liter kerana 60 peratus penduduk menggunakan kurang daripada 150 liter,” katanya pada sesi 'Fireside Chat' bertajuk 'Malaysia's Response to Global Energy Crisis: Build Back Better' di 'AFFIN Market Outlook Conference: Propelling Malaysia Forward 2026' anjuran AFFIN Group, di sini, pada Selasa.
Menurutnya. walaupun belum ada garis masa rasmi bagi pengurangan kuota itu, kerajaan turut mengkaji langkah memperketatkan kelayakan subsidi dengan mengecualikan golongan berpendapatan tinggi (T15, T20) serta warga asing.
Sebelum ini BUDI95 memperuntukkan kuota 300L sebelum ia diselaraskan kepada 200 liter bermula April lalu pada paras RM1.99 seliter.
Perbelanjaan bulanan kerajaan untuk subsidi bahan api telah melonjak hampir 10 kali ganda apabila harga minyak mentah melonjak dengan peningkatan mendadak dalam konflik geopolitik Asia Barat pada akhir Februari.
Ujar Chin Tong, program BUDI95 perlu dilihat sebagai “alat pengurusan permintaan”, bukan sekadar skim subsidi memandangkan negara perlu memastikan bekalan domestik kekal stabil sekiranya krisis geopolitik berlarutan.
Beliau turut memaklumkan bahawa kemas kini terakhir kerajaan menunjukkan bekalan minyak negara dijamin mencukupi sehingga awal Julai.
Dalam masa sama, beliau menegaskan kerajaan mahu memastikan kumpulan rentan seperti penunggang motosikal dan isi rumah berpendapatan rendah terus menikmati akses kepada bahan api bersubsidi.
“Dari sudut politik, saya mahu memastikan penunggang motosikal terus menikmati kadar subsidi tinggi.
"Mereka menggunakan sekitar 50 liter sebulan. Ini penting kerana jika golongan rentan terkesan dengan kenaikan harga, kesan politik dan sosialnya juga besar,” katanya.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu turut memaklumkan kerajaan masih dalam perancangan mekanisme subsidi diesel yang disasarkan untuk Sabah dan Sarawak, sama seperti bahan api BUDI95. -- Sinar Harian