Skip to main content

Politik

Dakwa hina sahabat Nabi: Nik Zawawi mohon maaf, akui kekhilafan

Sumber: BERNAMA
Nik Zawawi mengakui bersikap kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian ketika memberikan kenyataan tersebut. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh menyatakan permohonan maaf atas ucapan yang didakwa telah menghina empat sahabat Nabi Muhammad SAW.

Nik Zawawi turut mengakui bersikap kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian ketika memberikan kenyataan tersebut.

โ€œSaya dengan rendah hati memohon maaf atas kekhilafan tersebut,โ€ katanya menerusi kenyataan yang disiarkan oleh Facebook Dewan Ulamak Pas Pusat, hari ini.

Pada masa sama, Nik Zawawi turut menyatakan tidak berniat untuk menjatuhkan maruah atau menghina insan-insan terpilih yang dimuliakan oleh Allah SWT.

Jelasnya, tujuan asal kenyataan dibuat hanyalah untuk menjelaskan serta memberikan penekanan mengenai kehebatan risalah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad dalam mengubah sosio budaya masyarakat jahiliah kepada kehidupan yang lebih mulia dan berperadaban.

โ€œSaya mengambil tanggungjawab penuh terhadap perkara ini sebagai kekhilafan peribadi saya, dan ia sama sekali tidak berkaitan dengan pendirian Pas mahupun kepimpinannya,โ€ katanya lagi.

Beliau turut berharap agar Allah SWT mengampunkan segala kekhilafannya dan menerima segala usaha dalam menyampaikan dakwah dengan hikmah dan kebijaksanaan.

Sebelum ini, tular siri video memaparkan ceramah Nik Muhammad Zawawi mengeluarkan kenyataan yang didakwa menggambarkan empat sahabat Nabi Muhammad iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib yang melaksanakan amalan jahiliah sebelum memeluk Islam.

Nik Zawawi dilaporkan mengeluarkan kenyataan sedemikian semasa berucap di sebuah majlis Ceramah Perdana: Rakyat Bangkit di Kuala Terengganu pada 8 Mei lalu.


 

Must Watch Video