GUA MUSANG: Seorang pelajar lelaki Tingkatan Satu ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sebuah sekolah menengah di Paloh di sini, sebelum disahkan meninggal dunia akibat pendarahan secara tiba-tiba di kepala serta paru-paru berair pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada jam 8.53 pagi daripada bapa remaja berkenaan yang memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri di asrama sekolah terbabit.
Menurut beliau, mangsa berusia 13 tahun kemudian dibawa pihak sekolah ke Klinik Kesihatan Chiku 3 untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, pegawai perubatan di klinik berkenaan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
“Susulan itu, pemeriksaan bedah siasat dijalankan pada jam 3.30 petang di Hospital Gua Musang,” katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita pada Rabu.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati punca kematian adalah akibat pendarahan spontan di bahagian kepala serta paru-paru berair.
“Pemeriksaan lanjut juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah terlibat dalam kejadian ini,” katanya.
Menurutnya, mayat pelajar itu sudah diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.
Tambah beliau, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu sensitiviti keluarga mangsa,” katanya. -- Sinar Harian