Skip to main content

Malaysia

KKR kenal pasti 94 lokasi strategik naik taraf keselamatan jalan raya

KUALA LUMPUR, 14 April -- Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bercakap ketika sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya (KKR) di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid hari ini.
Nanta berkata dalam usaha memastikan keselamatan pejalan kaki terus diberi perhatian, KKR telah melaksanakan LPKSI sejak 2018 bagi menyediakan kemudahan lintasan pejalan kaki yang lebih selamat, teratur dan mesra pengguna. - Gambar fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) mengenal pasti 94 lokasi strategik di Semenanjung Malaysia bagi pelaksanaan projek menaik taraf infrastruktur keselamatan jalan raya tahun ini, melibatkan 77 lokasi di bawah Program Blackspot dengan peruntukan sebanyak RM27.85 juta. 

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata selain itu, sebanyak 17 lokasi turut dikenal pasti di bawah Program Lintasan Pejalan Kaki Searas Berlampu Isyarat (LPKSI) dengan peruntukan RM5.2 juta yang akan dilaksanakan tahun ini.

Beliau berkata pelaksanaan projek berkenaan akan memberi manfaat kepada penduduk di 11 negeri dan 36 daerah, sekali gus mempertingkatkan tahap keselamatan jalan raya serta menyumbang kepada kesejahteraan pengguna di kawasan terlibat.

“Antara inisiatif utama peningkatan tahap keselamatan infrastruktur jalan raya secara menyeluruh oleh KKR menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) ialah Program Memperelok Lokasi Kerap Berlaku Kemalangan (Blackspot), iaitu pendekatan strategik KKR dalam menangani lokasi berisiko tinggi, yang dikenal pasti melalui analisis data Sistem Pengurusan Kemalangan Jalan Raya (RAMS) yang digunakan secara menyeluruh sejak 2021.

“Antara kriteria lokasi Blackspot ialah berlakunya tiga kemalangan sama jenis atau lima kemalangan pelbagai jenis dalam tempoh tiga tahun serta berada dalam lingkungan 50 meter daripada pusat atau 100 meter daripada panjang jalan. 

“Sepanjang tempoh 2021 hingga 2025, sebanyak 342 lokasi Blackspot telah berjaya dirawat melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM118.5 juta, yang telah membantu meningkatkan tahap keselamatan infrastruktur jalan raya, mengurangkan risiko kemalangan serta melindungi pengguna jalan raya dengan lebih baik,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek dan Surat Setuju Terima (SST) bagi Program Cakna MADANI: Pelaksanaan Program Menaiktaraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya 2026 di sini semalam. 

Nanta berkata dalam usaha memastikan keselamatan pejalan kaki terus diberi perhatian, KKR telah melaksanakan LPKSI sejak 2018 bagi menyediakan kemudahan lintasan pejalan kaki yang lebih selamat, teratur dan mesra pengguna.

“Sehingga 2025, sebanyak 154 lokasi telah dilengkapi dengan kemudahan LPKSI melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM39.79 juta, yang telah membantu meningkatkan keselamatan pejalan kaki, mengurangkan risiko kemalangan serta memberi keyakinan kepada masyarakat terhadap kemudahan jalan raya lebih selamat,” katanya. 

Pada majlis itu, Nanta turut menyerahkan SST kepada 32 kontraktor dilantik bagi melaksanakan Program Blackspot Fasa 2 serta sijil penghargaan kepada 35 kontraktor yang telah berjaya menyiapkan projek di bawah Fasa 1 dan 10 kontraktor di bawah LPKSI.

Sementara itu, dalam sidang media, Nanta berkata lokasi Blackspot turut dikenal pasti berdasarkan kriteria kemalangan yang berpunca daripada situasi banjir yang merosakkan keadaan jalan raya. 

“Kami turut bekerjasama dengan agensi terlibat seperti pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Pengaliran dan Saliran jika ia melibatkan sungai dalam mengenal pasti lokasi Blackspot di Semenanjung Malaysia dan akan diperluas ke Sabah dan Sarawak pada masa akan datang,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement