PUTRAJAYA: Keselamatan negara pada era digital tidak lagi tertumpu kepada kawalan sempadan atau tanggungjawab agensi keselamatan semata-mata, sebaliknya bermula dari setiap rumah dan keluarga.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ancaman keselamatan kini berubah dengan ketara apabila teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) membolehkan ancaman menembusi kehidupan rakyat tanpa perlu merentasi sempadan fizikal.
“Kalau dulu, keselamatan itu dikaitkan dengan sempadan, pangkalan atau premis tertentu. Tetapi sekarang, ia melibatkan setiap rumah, setiap keluarga dan setiap pelajar,” katanya ketika merasmikan Program Bulan Keselamatan Negara 2026 dan National Cyber Security Summit (NCSS) 2026, di Putrajaya, pada Khamis.
Jelasnya lagi, persepsi bahawa kedaulatan negara hanya tanggungjawab pasukan keselamatan perlu diubah kerana setiap individu kini berdepan risiko ancaman siber.
“Tanggapan bahawa keselamatan itu bukan masalah rakyat, tetapi tanggungjawab agensi keselamatan atau kerajaan sudah tidak relevan. Kalau tidak dikawal, setiap keluarga dan setiap rumah tangga akan menghadapi risiko ancaman ini," katanya.
Menurutnya lagi, dunia kini berada dalam keadaan “post-normal” yang menyaksikan perubahan berlaku terlalu pantas, secara serentak dan merentasi pelbagai sektor, sekali gus menuntut kerajaan bertindak lebih proaktif.
"Pendekatan konvensional tidak mampu menangkis ancaman baharu. Sekarang mereka menggunakan teknik yang lebih canggih dengan maklumat AI.
"Kita mengalami keadaan yang bukan normal. Perubahan itu berlaku dengan begitu pantas dan meluas. Sebab itu semua kementerian dan jabatan mesti cepat menangkap teknologi baharu dan sentiasa terbuka, tidak boleh terikat dengan pendekatan lama," jelasnya.
Selain itu, kerjasama antarabangsa juga semakin penting memandangkan ancaman keselamatan siber tidak mengenal sempadan.
“Kalau kita tiada kerjasama yang lebih akrab dengan negara-negara sahabat, kita tidak akan berjaya menangkis setiap ancaman ini,” katanya.
Sebagai langkah memperkukuh ekosistem keselamatan siber negara, kerajaan turut melancarkan Dasar Kriptografi Negara (MyKriptografi), Pelan Tindakan MyKriptografi 2026-2030 serta Kerangka Keselamatan Siber bagi Sistem Kecerdasan Buatan (AI Systems Cybersecurity Framework - AISCF).
Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN), dasar dan pelan tindakan berkenaan menjadi hala tuju nasional bagi pembangunan serta pengukuhan keupayaan kriptografi negara.
Pada majlis sama, Perdana Menteri turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dengan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd serta antara NACSA, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan IBM (Malaysia) Sdn Bhd
Ia bagi memperkukuh pembangunan bakat, pemindahan teknologi dan kompetensi modal insan dalam bidang keselamatan siber negara.