KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu tidak akan mengambil pendekatan terburu-buru dalam menangani isu kebanjiran etnik Rohingya di negeri itu, sebaliknya perkara berkenaan perlu diurus secara tertib, berfakta dan mengikut lunas undang-undang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata pendekatan itu penting bagi memastikan keselamatan komuniti, ketenteraman awam serta keharmonian masyarakat terus terpelihara.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan negeri memahami kebimbangan rakyat terhadap kehadiran masyarakat Rohingya di beberapa kawasan di Terengganu.
"Isu yang melibatkan perkara warga asing merangkumi pelbagai aspek termasuk kemasukan, dokumen perjalanan, permit kerja, status individu serta tindakan terhadap pendatang tanpa izin yang berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan melalui agensi yang berautoriti.
"Dalam ruang lingkup kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), tindakan yang boleh dilaksanakan tertumpu kepada aspek pematuhan setempat seperti pelesenan perniagaan, syarat premis, kebersihan persekitaran, kacau ganggu awam serta penggunaan atau pembinaan premis yang tidak mengikut peraturan. Kerajaan negeri tidak akan mengambil tindakan secara terburu-buru atau berasaskan persepsi semata-mata," katanya dalam kenyataan hari ini.
Namun begitu, Wan Sukairi berkata kerajaan negeri akan memperkukuh penyelarasan antara agensi termasuk dengan Jabatan Imigresen, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membolehkan perkongsian maklumat, pemantauan serta tindakan bersepadu dilaksanakan mengikut bidang kuasa masing-masing.
Beliau berkata kerajaan negeri mengakui aktiviti penguatkuasaan di lapangan mempunyai cabaran tersendiri seperti isu pengesahan dokumen, komunikasi, keselamatan anggota serta had bidang kuasa antara agensi.
"Perkara ini menuntut tindakan yang lebih tersusun, berhati-hati dan berkesan supaya sebarang tindakan tidak tersasar daripada peruntukan undang-undang. Sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang melibatkan premis perniagaan atau aktiviti yang menyalahi undang-undang, tindakan sewajarnya akan diambil oleh agensi berkaitan.
"Oleh itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diseru agar melaporkan kepada pihak berkuasa dan tidak mengambil tindakan sendiri atau menyebarkan maklumat yang belum sahih sehingga mencetuskan kekacauan," katanya.
-- BERNAMA