PUCHONG: Kerajaan Persekutuan menegaskan pendirian untuk terus mengiktiraf Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, segala keputusan rasmi kerajaan dibuat berlandaskan proses sah perundangan walaupun terdapat perkembangan yang melibatkan usaha memasyhurkan individu lain bagi menggantikan kedudukan tersebut.
Beliau berkata, kerajaan mengambil maklum mengenai perkembangan semasa yang mencetuskan kebimbangan kerana institusi diraja mempunyai sistem, adat dan tatacara tersendiri yang wajib dihormati.
Tambah beliau, sebarang tindakan yang boleh menggugat kedudukan institusi Raja-Raja Melayu tidak wajar kerana ia memberi kesan besar terhadap kestabilan negara.
“Kalau perkara ini diganggu dengan cara yang tidak tertib, ia memberi isyarat yang tidak baik. Kita tidak menafikan hak mana-mana pihak mengikut Perlembagaan, tetapi ia mesti dibuat dengan hujah yang kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Meranti, Jalan Pulau Meranti, Puchong, hari ini.
Anwar turut menjelaskan bahawa proses berkaitan institusi diraja perlu melalui saluran undang-undang yang betul dan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa atau di luar kerangka perundangan.
Katanya, pengisytiharan yang dibuat di luar konteks rasmi juga boleh menjejaskan imej serta kedudukan institusi berkenaan di mata masyarakat.
“Perkara seperti ini perlu ikut jalur undang-undang yang sah. Kita sudah beri pandangan, namun ia tetap diteruskan dalam keadaan yang saya fikir kurang sesuai,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan sentiasa mengambil pendekatan menasihati pihak berkaitan demi memastikan institusi diraja terus dihormati dan tidak dipolitikkan.
Menurutnya, sistem diraja bukan hanya simbol, tetapi melibatkan maruah, kemuliaan serta aturan yang telah lama menjadi asas negara.
“Institusi ini bukan sekadar nama, tetapi ada adab dan peraturan yang mesti dipatuhi semua pihak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyatakan sokongan terhadap tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan yang membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Khamis sebagai langkah menghadapi ketidaktentuan politik semasa.
“Apabila keadaan tidak menentu, pilihan raya adalah jalan terbaik dan Tuanku juga telah memberikan perkenan,” katanya.
Anwar menambah bahawa kerajaan akan terus memberi kerjasama kepada semua pihak selagi ia dilaksanakan mengikut peraturan dan Perlembagaan negara.