Skip to main content

Malaysia

Kerajaan lulus peruntukan RM278.9 juta bagi 86 projek pembangunan JBPM

51744264091_AimanAthirah.jpg
Aiman Athirah berkata peruntukan itu meliputi 27 projek baharu dan 59 projek sambungan di seluruh negara pada tahun ini. - Gambar fail

KUANTAN: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM278.9 juta kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi pelaksanaan 86 projek pembangunan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata peruntukan itu meliputi 27 projek baharu dan 59 projek sambungan di seluruh negara pada tahun ini.

Beliau berkata tujuh projek pembangunan fasiliti sedang dilaksanakan di Pahang di bawah RMK12 dan RP1 RMK13, termasuk pembelian bangunan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) serta kuarters Gohtong Jaya, pembangunan BBP Benta dan BBP serta kuarters Tioman.

"Kerajaan turut melaksanakan kerja menaik taraf BBP Bentong dan BBP Kuantan, pembinaan semula BBP Triang serta kerja awalan tapak BBP Tanjung Lumpur," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian BBP Sungai Lembing yang disempurnakan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata BBP Sungai Lembing dibina di atas tapak seluas tujuh ekar dengan kos RM6 juta, merupakan balai bomba ke-29 di Pahang.

Aiman Athirah berkata BBP itu mula beroperasi pada 15 Feb lepas bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan kepada kira-kira 15,000 penduduk di Sungai Lembing dan kawasan sekitarnya.

"Kementerian berharap BBP Sungai Lembing bukan sekadar menjadi pusat operasi kebombaan dan penyelamatan, malah berkembang sebagai pusat sehenti yang memperkasa ilmu, kemahiran dan kesedaran masyarakat ke arah melahirkan lebih ramai citizen lifesavers," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata pembinaan BBP Sungai Lembing melengkapkan ekosistem pembangunan kawasan itu yang sedang giat diperkasakan menerusi pelbagai projek pembangunan dan pemuliharaan.

Beliau berkata usaha menghidupkan semula Sungai Lembing sebagai pekan warisan merangkumi pelaksanaan pelbagai inisiatif seperti pemuliharaan Panggung Wayang PCCL, pembangunan produk ekopelancongan, pembinaan Muzium Digital, penaiktarafan Terowong Sungai Lembing serta usaha mengangkat kawasan itu sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

"Segala usaha pembangunan ini tidak akan membawa makna sekiranya aspek keselamatan tidak diberikan perhatian. Atas titah Sultan Pahang sendiri, pembinaan BBP Sungai Lembing berjaya direalisasikan.

"Balai ini bukan sahaja memperkukuh tahap kesiapsiagaan menghadapi kecemasan, malah menjadi pelengkap kepada pembangunan Sungai Lembing sebagai sebuah pekan warisan yang selamat, moden dan makmur," katanya.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Ismail dan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement