Skip to main content

Malaysia

Kerajaan lulus pelepasan cukai TAR UMT bagi tempoh 10 tahun - Fahmi

Fahmi Fadzil Sidang Media
Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju meluluskan pelanjutan tempoh pelepasan cukai kepada Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) bagi tempoh 10 tahun.

Jurucakap Kerajaan Madani Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Menurut beliau, Jemaah Menteri telah meneliti isu pelepasan cukai melibatkan TAR UMT serta mengambil kira peranan institusi berkenaan dalam menyediakan akses kepada pendidikan tinggi swasta yang berkualiti dan berpatutan.

“Jemaah Menteri telah meneliti isu pelepasan cukai TAR UMT serta menghargai peranan khas universiti tersebut dalam menyediakan pendidikan tinggi swasta yang berkualiti dan berpatutan.

“Sehubungan itu, Perdana Menteri telah meluluskan pelanjutan tempoh kelulusan pelepasan cukai TAR UMT untuk tempoh 10 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Fahmi berkata TAR UMT masih tertakluk kepada semakan pematuhan sepanjang tempoh kelulusan tersebut berkuat kuasa.

Katanya, antara syarat yang perlu dipatuhi termasuk mengemukakan penyata kewangan yang diaudit setiap tahun selaras dengan keperluan Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Walau bagaimanapun, TAR UMT kekal tertakluk kepada semakan pematuhan sepanjang tempoh kelulusan berkuat kuasa, termasuk syarat seperti mengemukakan penyata kewangan yang diaudit setiap tahun,” katanya.

Sebelum ini, isu pelepasan cukai TAR UMT menjadi perhatian selepas Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mendakwa tempoh pengecualian cukai kepada Yayasan Pendidikan Tunku Abdul Rahman dikurangkan daripada 10 tahun kepada tiga tahun.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan sebelum ini menjelaskan bahawa kelulusan pengecualian cukai bagi institusi, organisasi atau tabung yang layak adalah tertakluk kepada pematuhan syarat yang ditetapkan di bawah undang-undang percukaian.

Pada 27 November 2025, Perdana Menteri mengumumkan bahawa kelulusan pengecualian cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 boleh diberikan sehingga tempoh maksimum 10 tahun kepada institusi yang memenuhi syarat kelayakan.

Must Watch Video

Advertisement