Skip to main content

Malaysia

Kerajaan disaran gantung lesen pemandu mabuk sebabkan kematian seumur hidup

HUKUMAN PEMANDU MABUK  -- Sumber: Facebook Yuneswaran Ramaraj
Timbalan Menteri Perpaduan, R. Yuneswaran berkata, langkah itu perlu dipertimbangkan bagi memastikan tragedi melibatkan kehilangan nyawa akibat pemanduan melulu tidak terus berulang. - Foto Facebook Yuneswaran Ramaraj

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mengambil tindakan lebih tegas dan segera terhadap pemandu mabuk serta pemandu di bawah pengaruh dadah, termasuk melaksanakan hukuman penjara mandatori yang lebih berat dan penggantungan lesen memandu seumur hidup bagi kes yang menyebabkan kematian atau kecederaan serius.

Timbalan Menteri Perpaduan, R. Yuneswaran berkata, langkah itu perlu dipertimbangkan bagi memastikan tragedi melibatkan kehilangan nyawa akibat pemanduan melulu tidak terus berulang.

"Operasi sekatan jalan raya dan spotcheck secara besar-besaran juga perlu diperhebat, terutama pada waktu malam, hujung minggu dan musim perayaan.

"Tindakan tegas perlu diambil terhadap premis penjualan arak tanpa lesen termasuk penutupan premis dan pembatalan lesen perniagaan, serta larangan penjualan berhampiran kawasan perumahan, rumah ibadat, sekolah dan institusi pendidikan," katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Katanya lagi, kerajaan juga perlu mempertimbangkan had waktu penjualan alkohol serta menghentikan paparan terbuka produk alkohol di kaunter dan rak jualan sebagaimana kawalan terhadap produk rokok. 

"Penjualan alkohol secara 24 jam di kedai-kedai runcit juga perlu dikaji semula dan dihadkan kepada waktu tertentu seperti yang berlaku di negara jiran. Penguatkuasaan terhadap penjualan alkohol kepada golongan muda turut mesti diperketatkan," jelasnya.

Beliau berkata, kajian menyeluruh terhadap pindaan Akta Pengangkutan Jalan juga perlu dilaksanakan bagi memperuntukkan hukuman lebih berat dan spesifik terhadap kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

“Nyawa rakyat tidak boleh terus dipandang murah. Setiap kelemahan penguatkuasaan hari ini boleh menjadi punca kehilangan sebuah keluarga esok hari,” katanya.

Tambah beliau, memandu dalam keadaan mabuk atau di bawah pengaruh dadah perlu dilihat sebagai ancaman kepada keselamatan awam dan bukan sekadar kesalahan jalan raya.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi keluarga mendiang A. Doraisingam dan A. Menegah yang maut dalam kemalangan melibatkan seorang pemandu mabuk di Jalan Ampang baru-baru ini.

Menurutnya, pertemuan bersama keluarga mangsa amat menyentuh hati apabila tiga beradik kini terpaksa meneruskan kehidupan tanpa ibu bapa dan tempat bergantung.

“Anak sulung lelaki kini memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga pada usia muda. Anak kedua baru sahaja menamatkan pengajian, manakala anak bongsu pula baru memulakan langkah mengejar masa depan," katanya.

Kata Yuneswaran, beliau akan terus mengikuti perkembangan keluarga mangsa dan melihat bentuk bantuan yang boleh disalurkan dari semasa ke semasa dan berharap agar keadilan sewajarnya dapat ditegakkan buat keluarga mendiang.

 

 

Must Watch Video