KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan menanggung keseluruhan obligasi berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berjumlah RM51.4 bilion, termasuk komitmen yang telah dibayar dan yang masih perlu dilunaskan sehingga 2039.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, daripada jumlah itu, kerajaan telah membayar RM42.5 bilion bagi melunaskan hutang dan komitmen 1MDB yang merangkumi bayaran prinsipal, faedah, kos guaman, kos operasi serta komitmen lain.
Menurut beliau, kerajaan masih perlu menanggung Nota Jangka Sederhana Islam (Sukuk Islamic Medium Term Notes) yang dijamin kerajaan berjumlah RM8.9 bilion, melibatkan bayaran prinsipal sebanyak RM5 bilion dan faedah RM3.9 bilion yang akan matang pada 2039.
"Secara keseluruhan, tanggungan 1MDB yang telah dan masih perlu ditanggung kerajaan adalah sebanyak RM51.4 bilion," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Liew berkata, setakat ini dana berkaitan 1MDB yang berjaya diperoleh semula berjumlah RM31.3 bilion.
Namun, katanya, sekiranya tiada lagi pemulangan dana pada masa hadapan, kerajaan masih perlu menanggung baki sebanyak RM20.1 bilion daripada keseluruhan obligasi berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) yang meminta Kementerian Kewangan menyatakan jumlah keseluruhan hutang 1MDB yang ditanggung Kerajaan Persekutuan serta jumlah yang telah dibayar bagi melunaskan hutang tersebut setakat ini.