Skip to main content

Malaysia

Kemalangan LPT: Pendidikan, advokasi keselamatan jalan raya perlu dipertingkatkan

KUALA LUMPUR, 1 Julai -- Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, bercakap pada sidang media mengenai kejayaan JSPT dalam operasi bersepadu menangani pemandu kenderaan perdagangan di bawah pengaruh dadah bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Agensi Antidadah Kebangsaan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.  --fotoBERNAMA
Muhammed Hasbullah berkata meskipun JSPT Bukit Aman dan agensi berkaitan sentiasa melaksanakan operasi, masih terdapat individu sanggup mengambil risiko tinggi dengan menunggang secara melulu, berlumba dan melakukan aksi berbahaya di lebuh raya. - Gambar fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pendidikan dan advokasi keselamatan jalan raya perlu dipertingkat agar masyarakat lebih memahami setiap tindakan tidak bertanggungjawab di jalan raya boleh mengakibatkan kehilangan nyawa.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata tindakan penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi sebaliknya memerlukan sokongan masyarakat, peranan ibu bapa, keluarga, institusi pendidikan serta komuniti dalam membentuk sikap bertanggungjawab ketika berada di jalan raya.

Beliau berkata kes kemalangan membabitkan penunggang motosikal umpamanya sukar dibendung melalui sekadar penguatkuasaan kerana ia juga berkaitan sikap, mentaliti dan budaya segelintir penunggang yang sengaja mengabaikan undang-undang demi kepuasan atau pengiktirafan dalam kalangan rakan-rakan.

Muhammed Hasbullah berkata meskipun jabatan itu dan agensi berkaitan sentiasa melaksanakan operasi, masih terdapat individu sanggup mengambil risiko tinggi dengan menunggang secara melulu, berlumba dan melakukan aksi berbahaya di lebuh raya.

"Dalam kejadian seperti yang berlaku di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pagi tadi, bukan sahaja nyawa penunggang motosikal terkorban, malah pengguna jalan raya lain turut berdepan risiko kecederaan, kerosakan harta benda dan trauma akibat kemalangan yang berlaku. 

"Jalan raya adalah ruang awam yang perlu dikongsi secara bertanggungjawab oleh semua pihak," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kemalangan maut di KM246.4 LPT berhampiran Kuantan, Pahang awal pagi semalam yang mengakibatkan empat penunggang motosikal maut manakala 20 lagi cedera.

Sementara itu, beliau berkata tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan seperti menunggang secara melulu, berlumba haram atau melakukan aksi yang membahayakan pengguna jalan raya lain. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement