Skip to main content

Malaysia

Kastam Kedah rampas dadah bernilai hampir RM1.8 juta di perairan Yan

SUNGAI PETANI, 8 Julai -- Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah, Wan Marini Wan Hamzah menunjukkan barang rampasan 35.95 kilogram dadah jenis Methamphetamine di kawasan perairan berhampiran Pulau Telur, Yan,14 Jun lalu, ketika ditemui pada sidang media hari ini.  Beliau berkata berkata rampasan itu dilakukan selepas dua lelaki yang menaiki sebuah bot nelayan tidak bernombor bertindak mencampakkan dua bagasi dan sebuah beg galas berisi dadah ke laut ketika cuba melarikan diri daripada anggota
Wan Marini menunjukkan barang rampasan 35.95 kilogram dadah jenis methamphetamine di kawasan perairan berhampiran Pulau Telur, Yan,14 Jun lalu, ketika ditemui pada sidang media hari ini. - Gambar Bernama

SUNGAI PETANI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah merampas 35.95 kilogram dadah jenis methamphetamine bernilai RM1.796 juta di kawasan perairan berhampiran Pulau Telur, Yan dekat sini bulan lepas.

Pengarah JKDM Kedah Wan Marini Wan Hamzah berkata dalam kejadian pada 14 Jun, kira-kira 7 malam itu, sepasukan anggota Cawangan Penguatkuasaan Marin Tanjung Dawai sedang menjalankan rondaan di sekitar Pulau Banting sebelum mengesan sebuah bot nelayan tidak bernombor dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan berhampiran Pulau Telur.

“Anggota menghampiri dan mengarahkan mereka berhenti untuk pemeriksaan, namun dua lelaki di atas bot bertindak mencampakkan dua bagasi dan satu beg galas ke laut sebelum memecut ke arah perairan antarabangsa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Wan Marini berkata pasukan bertugas kemudian mengejar bot nelayan terbabit, namun suspek berjaya meloloskan diri.

Beliau berkata bagasi dan beg yang berjaya ditemukan dibawa ke Pejabat Marin Tanjung Dawai untuk pemeriksaan lanjut sebelum mendapati ia mengandungi 35 bungkusan dadah dipercayai jenis methamphetamine.

“Pasaran semasa dadah tersebut dianggarkan sekitar RM50,000 bagi sekilogram,” katanya.

Wan Marini berkata siasatan awal mendapati sindiket dipercayai menggunakan bot nelayan serta laluan laut bagi menyeludup dadah ke negara jiran.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan bot serta individu yang terlibat termasuk kemungkinan penglibatan jenayah rentas sempadan,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

– BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement