KUALA LUMPUR: Polis merakam keterangan lapan individu termasuk ibu bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang maut selepas terjatuh dari tingkat 13 sebuah apartmen di Taman Cahaya, Ampang malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Khairul Anuar Khalid berkata mayat kanak-kanak itu juga telah dituntut keluarga selepas bedah siasat di Hospital Ampang selesai pagi tadi.
“Siasatan kes masih dijalankan,” katanya semasa dihubungi hari ini.
Semalam, kanak-kanak itu ditemukan tidak sedarkan diri oleh seorang wanita pada 7.45 malam sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Ampang.
Khairul Anuar berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa kanak-kanak itu dipercayai ditinggalkan bersendirian di dalam rumah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian terhadap kanak-kanak yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA