Skip to main content

Malaysia

Kanak-kanak lelaki disyaki didera pengasuh

Sumber: Sinar Harian
Video tular memaparkan seorang kanak-kanak ditinggalkan dan dipukul di bahagian belakang rumah. - Foto Sinar Harian

SEREMBAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun disyaki didera wanita warga emas yang juga pengasuhnya di sebuah rumah di sini semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata ibu bapa mangsa membuat laporan pada 8.01 malam tadi selepas melihat video kejadian berdurasi satu minit 15 saat yang tular di media sosial.

“Rakaman video itu memaparkan seorang wanita memukul kanak-kanak lelaki di bahagian belakang sebuah rumah dan mangsa telah dikenal pasti oleh ibu bapanya.

“Mangsa dihantar ke rumah pengasuh yang terletak tidak jauh dari kediaman mereka kira-kira tujuh bulan lepas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini untuk pemeriksaan dan rawatan.

Alzafny berkata polis menahan wanita berusia 60 tahun pada 9.45 hari sama di lokasi kejadian bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Beliau meminta individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Kamarul Ariffin Kamaruzaman menerusi talian 06-6033222.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement