Skip to main content

Malaysia

Pendidikan, modal insan kunci Selangor kekal ‘The heartbeat of Malaysia’ - MB Selangor

Sumber: Astro AWANI
Amirudin berkata, kunci kejayaan dan kelangsungan Selangor untuk terus kekal sebagai penyumbang ekonomi terbesar negara atau 'The Heartbeat of Malaysia' terletak sepenuhnya kepada pemerkasaan institusi pendidikan dan pembangunan modal insan. -Foto Astro AWANI

SHAH ALAM: Kunci kejayaan dan kelangsungan Selangor untuk terus kekal sebagai penyumbang ekonomi terbesar negara atau 'The Heartbeat of Malaysia' terletak sepenuhnya kepada pemerkasaan institusi pendidikan dan pembangunan modal insan.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, berbeza dengan negeri lain, Selangor tidak memiliki sumber asli yang luas atau sumber bahan bakar yang boleh digali, namun negeri itu mempunyai kelebihan besar daripada aspek sumber daya manusia.

Beliau menegaskan bahawa kemampuan untuk memperkasakan rakyat di negeri itu hanya boleh diukur melalui keupayaan dan kualiti sistem pendidikan yang disediakan.

"Kunci kejayaan, kelangsungan, kelestarian (sustainability) dan kemampuan kita untuk menjadi sebuah negeri yang berdaya maju, berdaya saing serta berkeupayaan tinggi terletak dalam institusi ini (pendidikan).

"Kita tidak mempunyai sumber asli yang besar mahu pun sumber bahan bakar untuk dihasilkan kepada negeri ini, tetapi kita mempunyai satu sumber yang sangat besar iaitu sumber daya manusia. Memberdaya manusia tidak lain dan tidak bukan diukur dengan keupayaan pendidikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan Program Didik Kasih, di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata pendidikan yang berkualiti bukan sekadar mengenai pencapaian akademik semata mata, malah merangkumi latihan kepelbagaian kemahiran serta pembentukan sahsiah yang seimbang.

Menurutnya, keseimbangan antara kekuatan fizikal, keupayaan mental serta keteguhan jiwa dan kerohanian adalah elemen kritikal untuk melahirkan generasi masa depan yang berdaya tahan.

"Dengan pendidikan yang berkualiti dan keseimbangan kualiti dalam semua aspek, insya-Allah anak-anak kita akan menjadi pewaris yang ampuh.

"Mereka inilah yang akan memikul tanggungjawab bagi meneruskan kelangsungan, kejayaan, kestabilan serta kekuatan negeri yang kita cintai ini," katanya lagi.

Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuh komitmen dalam menyediakan akses pendidikan berkualiti secara inklusif menerusi pelancaran Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan Program Didik Kasih (PDK) bagi tahun 2026 bagi memastikan tiada anak Selangor yang tercicir daripada arus pembangunan modal insan.

Dianjurkan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor menerusi Yayasan MBI, program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

 

Must Watch Video

Advertisement