Skip to main content

Dunia

Trump umum hantar 5,000 tentera ke Poland, cetus persoalan sekutu NATO

RC233LAMEJTX
Trump (foto) berkata keputusan itu diambil susulan hubungan rapatnya dengan Presiden Poland yang baharu dipilih, Karol Nawrocki, yang disokong beliau dalam pilihan raya sebelum ini. -Gambar fail/Reuters

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan bahawa negaranya akan menghantar tambahan 5,000 anggota tentera ke Poland.

Pengumuman itu dibuat menerusi hantaran di platform media sosial miliknya, Truth Social, semalam.

Trump berkata keputusan itu diambil susulan hubungan rapatnya dengan Presiden Poland yang baharu dipilih, Karol Nawrocki, yang disokong beliau dalam pilihan raya sebelum ini.

Langkah tersebut bagaimanapun menimbulkan persoalan dalam kalangan sekutu Eropah.

Ini kerana pentadbiran Trump sebelum ini menyatakan hasrat untuk mengurangkan kehadiran tentera AS di Eropah.

Minggu lalu, pegawai Jabatan Pertahanan AS (Pentagon) mengesahkan rancangan penghantaran briged melibatkan kira-kira 4,000 anggota tentera ke Poland telah dibatalkan.

Langkah itu dilihat sebagai usaha Washington untuk menggesa sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) meningkatkan perbelanjaan pertahanan masing-masing.

Dua hari sebelum pengumuman itu, Naib Presiden AS JD Vance berkata penempatan pasukan tentera tersebut hanya ditangguhkan dan belum dibatalkan sepenuhnya.

Setakat ini, White House dan Pentagon belum mengeluarkan perincian lanjut mengenai pelaksanaan penambahan anggota tentera itu, termasuk sama ada ia melibatkan pemindahan dari pangkalan lain di Eropah seperti Jerman.

Must Watch Video

Advertisement