Skip to main content

Malaysia

JPM Hal Ehwal Agama sokong pindaan Akta Pengangkutan Jalan, pesalah wajar bayar pampasan

JPM Hal Ehwal Agama Sokong Pindaan Akta Pengangkutan Jalan, Pesalah Wajar Bayar Pampasan -- BERNAMA
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh keputusan Jemaah Menteri meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] bagi mewajibkan pesalah membayar pampasan kepada mangsa kemalangan. - Gambar hiasan Bernama

PUTRAJAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh keputusan Jemaah Menteri meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] bagi mewajibkan pesalah membayar pampasan kepada mangsa kemalangan. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, langkah perundangan ini amat selari dengan usaha yang sedang digerakkan pihaknya dalam meneliti pelaksanaan mekanisme diyat, iaitu pampasan berasaskan syariah bersama barisan mufti dan pakar perundangan sejak 11 Feb lepas. 

“Pihak kami sedia menyumbang kepakaran bagi memastikan penggubalan mekanisme pampasan mahkamah ini bersifat adil, kalis kelompangan dan mampu memberikan perlindungan hak kepada keluarga mangsa yang kehilangan tempat bergantung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Jumaat lepas, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Jemaah Menteri bersetuju secara dasar dengan cadangan meminda Akta 333 bagi membolehkan mahkamah memerintahkan pesalah kemalangan jalan raya membayar pampasan kepada mangsa atau waris mangsa sebagai hukuman tambahan, selain hukuman sedia ada.

Zulkifli berkata, ketegasan Kementerian Pengangkutan dalam isu ini membabitkan pesalah jalan raya terutamanya pemandu mabuk dan khayal akibat dadah amat tepat.

“(Pesalah) tidak boleh dibiarkan terlepas sekadar dengan hukuman penjara dan denda, sebaliknya wajar dipertanggungjawabkan sepenuhnya secara kewangan demi membela nasib waris mangsa.

“Tragedi yang meragut nyawa mangsa kemalangan akibat kecuaian melampau seperti memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah adalah jenayah yang tidak boleh dikompromi sama sekali,” katanya. 

Zulkifli berkata, pindaan mandatori ini menjadi amaran keras bahawa undang-undang tidak lagi akan bertoleransi dengan pembunuh di jalan raya.

“Ia sekali gus memastikan keadilan buat mangsa ditegakkan dengan pantas tanpa perlu melalui proses sivil yang berlarutan,” katanya.

Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil berkata langkah meminda Akta 333 adalah usaha yang amat signifikan dalam memastikan keadilan tidak hanya dilaksanakan melalui hukuman terhadap pesalah tetapi turut mengambil kira kebajikan, kehilangan dan beban kewangan ditanggung mangsa serta keluarga. 

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menyambut baik dan menyokong penuh kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berhubung keputusan Jemaah Menteri untuk meminda Akta 333 khususnya bagi mewajibkan pesalah membayar pampasan kepada mangsa kemalangan atau waris mereka.

“Pesalah yang menyebabkan kematian atau kecederaan akibat kecuaian melampau, khususnya kerana memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, sewajarnya dipertanggungjawabkan terhadap kesan perbuatannya,” katanya.

Ahmad Fauwaz berkata pendekatan ini juga selari dengan prinsip syariah yang memberikan perhatian terhadap pemeliharaan nyawa, pembelaan hak mangsa serta pelaksanaan pampasan melalui konsep diyat. 

“Mekanisme pampasan yang adil, menyeluruh dan berkesan mampu membantu keluarga mangsa meneruskan kehidupan, di samping memberikan mesej tegas bahawa kecuaian di jalan raya bukanlah suatu kesalahan yang boleh dipandang ringan,” katanya.

Beliau berkata Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan bersedia memberikan kerjasama dan pandangan dari sudut hukum serta prinsip syariah bagi membantu usaha kerajaan menggubal mekanisme pampasan yang adil dan praktikal. 

“Semoga pindaan ini menjadi langkah penting dalam menegakkan keadilan, melindungi masyarakat serta mencegah tragedi yang sama daripada terus berulang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement