Skip to main content

Malaysia

JPJ gerak 2,000 anggota pantau Operasi Khas musim perayaan

Sumber: Shahir Omar
Anthony Loke berkata, penugasan besar-besaran itu melibatkan operasi bersepadu di lebuh raya, terminal bas serta kawasan ‘hotspot’ kemalangan yang dikenal pasti. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR

KAJANG: Kira-kira 2,000 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan digerakkan di seluruh negara sempena operasi khas musim perayaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya berada pada tahap optimum.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penugasan besar-besaran itu melibatkan operasi bersepadu di lebuh raya, terminal bas serta kawasan ‘hotspot’ kemalangan yang dikenal pasti.

Beliau berkata, kehadiran anggota penguat kuasa di lokasi strategik turut bertujuan meningkatkan persepsi penguatkuasaan atau perception of being caught supaya pengguna jalan raya lebih berdisiplin.

"Pendekatan itu bukan sekadar untuk mengeluarkan saman, tetapi lebih kepada usaha pencegahan bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

“Tujuan kita bukan nak saman semata-mata, tetapi untuk memastikan pengguna lebih berhati-hati terutama di kawasan berisiko tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikan dalam sidamg media selepas Melancarkan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM)  Tukar Hak Milik Persendirian (M.V.15), di sini, pada Selasa.

Menurutnya, JPJ juga akan melaksanakan pemeriksaan awal di depoh serta terminal bas sebelum kenderaan membawa penumpang memulakan perjalanan.

Beliau berkata, pemeriksaan tersebut melibatkan semakan lesen memandu, cukai jalan, insurans, permit operasi serta keadaan pemandu dan kenderaan.

"Selain itu, saringqn kesihatan dan ujian dadah turut dijalankan bagi memastikan pemandu berada dalam keadaan selamat dan sesuai untuk memandu," katanya.

Jelasnya, semua langkah itu dilaksanakan secara konsisten setiap kali musim perayaan dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau menegaskan, operasi bersepadu itu penting bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin sepanjang tempoh perayaan.

Katanya, strategi penguatkuasaan di lokasi tumpuan akan memberi kesan psikologi kepada pengguna jalan raya supaya lebih berhemah ketika memandu.

“Bila nampak kehadiran anggota penguat kuasa, kita harap pengguna lebih berhati-hati,” katanya.

"JPJ akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa termasuk di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi kemalangan," katanya.

Beliau berkata, semua usaha itu merupakan sebahagian daripada pendekatan menyeluruh kerajaan dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Katanya, kerajaan komited memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan utama terutama ketika musim perayaan.

Must Watch Video

Advertisement