Skip to main content

Malaysia

Jenazah lewat kebumi: JAIS buat laporan polis, dakwa borang pengebumian dipalsukan

JAIS MASJID
JAIS berkata, siasatan mendapati kelewatan pengebumian bukan berpunca daripada pihak masjid, sebaliknya disebabkan kekeliruan dalam kalangan waris.

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuat laporan polis mendakwa berlaku pemalsuan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam yang dikemukakan kepada pengurusan Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang dalam kes tular baru-baru ini.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, siasatan mendapati kelewatan pengebumian bukan berpunca daripada pihak masjid, sebaliknya disebabkan kekeliruan dalam kalangan waris yang menyerahkan sepenuhnya urusan kepada Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS), yang tidak mempunyai kaitan dengan pihak masjid.

Menurut beliau, jenazah berkenaan merupakan ahli kariah Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam dan meninggal dunia pada 25 Jun lalu.

“Pada peringkat awal, waris berurusan dengan BKS bagi menguruskan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana di bawah seliaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Bagaimanapun, bapa si mati hanya hadir bertemu Pembantu Pengurus Masjid Nurul Hidayah pada jam 10.30 pagi bagi mendapatkan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam yang diperlukan untuk urusan tersebut.

“Beliau turut bersetuju agar pihak masjid mengambil alih daripada BKS untuk meneruskan pengurusan pengebumian,” katanya.

Sebelum ini tular di media sosial dakwaan berlakunya pertikaian dalam pengurusan jenazah sehingga proses pengebumian tertangguh lebih sejam. 

Hantaran itu turut mendakwa sebuah badan kebajikan menguruskan jenazah atas permintaan waris, selain timbul isu berkaitan permit pengebumian serta caj RM1,400 yang dikatakan dikenakan oleh pihak masjid.

Mengulas lanjut, Mohd Shahzihan berkata pihak masjid telah mengeluarkan borang permohonan berkenaan pada jam 11.15 pagi selepas menerima Daftar Kematian asal.

Namun, pihak masjid dimaklumkan bahawa datuk si mati berkeras mahu urusan jenazah dikendalikan oleh BKS.

“Bagi mengelakkan sebarang kekecohan, pihak masjid mendapatkan bantuan polis sebelum menuju ke lokasi pengurusan jenazah di Surau An-Nur, Taman Cempaka.

“Setibanya di lokasi, pihak masjid dimaklumkan bahawa jenazah telah dibawa ke tanah perkuburan oleh BKS, sedangkan Borang Permohonan Pengebumian dan Daftar Kematian asal masih berada dalam pegangan pihak masjid,” jelasnya.

Keadaan itu menyebabkan urusan pengebumian tidak dapat disempurnakan kerana ketiadaan dokumen sah, sehinggalah pihak pengurusan tanah perkuburan memaklumkan bahawa jenazah telah berada di dalam liang lahad.

“Pihak masjid kemudian bergegas membawa dokumen asal ke tanah perkuburan bagi membolehkan pengebumian disempurnakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan dakwaan bahawa pihak masjid mengenakan bayaran RM1,400 kepada waris bagi menguruskan pengebumian jenazah.

Sehubungan itu, JAIS menasihatkan umat Islam supaya merujuk terus kepada pihak pengurusan masjid di kariah masing-masing bagi memastikan urusan pengebumian berjalan lancar serta mengelakkan sebarang kelewatan atau kekeliruan.

Must Watch Video

Advertisement