Skip to main content

Malaysia

Jangan lindungi kes buli demi jaga imej, prestasi sekolah - PM Anwar

PUTRAJAYA, 28 Julai -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Pendidikan di Putrajaya hari ini.  Turut sama, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad DahlanAbdul Aziz.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anwar ketika hadir ke Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Pendidikan di Putrajaya. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan bahawa pihak pengurusan sekolah supaya tidak melindungi kes buli atau penderaan semata-mata untuk menjaga imej dan prestasi institusi pendidikan masing-masing.

Beliau berkata tindakan menyembunyikan kes sedemikian hanya akan memburukkan keadaan kerana masalah yang pada awalnya kecil boleh menyebabkan menjadi kezaliman lebih serius jika tidak ditangani segera.

“Kezaliman itu bermula di situ (buli dan keganasan). Tindakan ganas, gopoh dan zalim bermula di situ. Sebab itu di peringkat awal, perkara itu mesti dibetulkan walau sebesar atau sekecil mana sekalipun,” katanya ketika berucap pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Pendidikan (KPM) di sini, hari ini.

Anwar turut menegaskan bahawa pengetua dan guru besar perlu bersikap terbuka dalam menangani isu buli serta tidak menganggap pendedahan sesuatu kes sebagai perkara yang mencemarkan reputasi sekolah.

Beliau berkata kejadian buli yang berlaku di sesebuah sekolah tidak bermakna institusi pendidikan itu gagal secara keseluruhan, sebaliknya insiden berkenaan perlu dilihat sebagai isu yang memerlukan tindakan segera.

"Saya di ruang ini mengingatkan pengetua dan guru besar supaya menjadikan perkara ini sebagai satu sikap yang amat penting. Tidak bermakna apabila berlaku satu kes yang heboh satu negara, bermakna sekolah itu gagal. 

"Saya tidak mewakili pandangan itu. Kalau guru besar memilih untuk mendedahkan, saya hormat dia kerana dia tidak cuba melindungi imej sekolah, jaga prestasi sekolah," katanya. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengingatkan bahawa keselamatan dan kesejahteraan murid perlu sentiasa menjadi keutamaan kerana ibu bapa menghantar anak masing-masing ke sekolah dengan harapan mereka berada dalam persekitaran yang selamat.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata maklum balas diterima secara langsung daripada murid ketika turun ke lapangan sering memberikan gambaran lebih jelas mengenai keadaan sebenar di sekolah.

Beliau berkata maklumat yang dikongsi murid adakalanya berbeza daripada laporan rasmi kerana pihak pengurusan perlu mengambil kira pelbagai faktor sebelum memberikan penjelasan.

"Anak-anak ini saya senang sebab saya anggap macam cucu-cucu saya yang dia cerita lurus.

"Kalau tanya KP (Ketua Pengarah), (jawapan) dia dah lapik-lapik sikit sebab dia nak pertahan. Pergi ke sekolah tanya pengetua, pergi ke pengarah pendidikan, mereka juga terpaksa (menjelaskan) semuanya okay," katanya.

Turut hadir pada majlis perjumpaan itu ialah Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement