KUALA LUMPUR: Istana Besar Seri Menanti menjadi destinasi penting dalam proses pelantikan Undang di Negeri Sembilan apabila Istiadat Menghadap Menjunjung Duli disempurnakan sebagai tanda pengesahan rasmi mengikut Adat Perpatih.
Profesor Emeritus Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata kuasa memilih Undang terletak pada luak masing-masing, namun pelantikan itu hanya dimuktamadkan selepas istiadat menghadap di Seri Menanti disempurnakan.
Media sebelum ini melaporkan akauntan Muhammad Faris Johari bakal menjalani Istiadat Menzahirkan Kejadian sebagai Datuk Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong ke-11.
Pesara kerajaan, Hassan Ab Hamid pula bakal menjalani Istiadat Menzahirkan Kejadian sebagai Datuk Lela Maharaja Undang Luak Rembau ke-22.
Kedua-dua mereka dijadual terbabit dalam istiadat berkenaan pada Sabtu, 27 Jun 2026 di Istana Besar Seri Menanti.
Noor Aziah yang juga pakar perlembagaan berkata proses pemilihan Undang sebenarnya bermula lebih awal di peringkat luak melalui institusi adat yang mempunyai kuasa membuat pemilihan.
Jelasnya, calon yang dipilih akan melalui beberapa peringkat sebelum dibawa ke Istana Besar Seri Menanti bagi melengkapkan tatacara pelantikan mengikut Adat Perpatih.
“Di Negeri Sembilan, isu pelantikan itu memang kuasa luak masing-masing dan pengakhirannya di Seri Menanti, menghadap ataupun kejadian itu adalah proses terakhir yang mengikut Adat Perpatih,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI semalam.
Beliau percaya semua tatacara yang ditetapkan telah dilaksanakan mengikut adat.
Katanya, orang ramai kebiasaannya hanya menyaksikan peringkat akhir pelantikan dalam Istiadat Menzahirkan Kejadian, sedangkan proses pemilihan sebenar telah berlangsung lebih awal di peringkat luak.
“Apabila berlakunya perkara-perkara yang sudah dilaksanakan dua tiga minggu ini, saya rasa semestinya proses itu sudah berlangsung,” katanya.
Menurut Noor Aziah, hanya selepas keseluruhan proses daripada peringkat pemilihan hingga istiadat menghadap di Istana Besar Seri Menanti disempurnakan, barulah seseorang itu diiktiraf sebagai Undang yang sah.
Jelasnya, Istiadat Menzahirkan Kejadian menjadi kemuncak kepada keseluruhan proses pelantikan pembesar adat di Negeri Sembilan.
“Kalau proses itu daripada A sampai Z dipenuhi, maknanya mengikut Adat Perpatih, maka proses itulah yang telah dipegang di Negeri Sembilan sekian lama.
“Ia sangat penting kerana apabila proses menghadap itu berlaku, maka proses itu adalah proses yang sah dan orang yang pergi menghadap itu adalah Undang yang sah,” katanya.
Beliau turut menjelaskan Istana Besar Seri Menanti sejak dahulu menjadi pusat autoriti adat bagi mengesahkan pelantikan Undang.
Menurutnya, semua istiadat utama Negeri Sembilan berlangsung di Seri Menanti, sekali gus menjadikannya asas kepada pengesahan pelantikan mengikut Adat Perpatih.
Atas dasar itu, beliau berpandangan pelantikan yang telah melalui keseluruhan proses tidak lagi wajar dipersoalkan.
“Maka saya percaya tidak patut dipersoalkan lagi kerana istiadat menghadap itu telah dilaksanakan ataupun menyalang ke Seri Menanti sudah pun berlaku,” katanya.