KUALA LUMPUR: Penjagaan yang berteraskan pesakit harus kekal sebagai asas kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan manakala inovasi pula perlu berlandaskan belas ihsan bagi memastikan pada ibu dan keluarga mereka menerima penjagaan terbaik, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Isteri Perdana Menteri itu berkata, kecemerlangan dalam penjagaan kesihatan ibu tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan hasil klinikal tetapi juga merangkumi aspek maruah, rasa hormat dan sokongan emosi yang diberikan kepada para ibu serta keluarga mereka sepanjang tempoh kehamilan dan proses kelahiran.
Beliau berkata, walaupun inovasi terus mengubah landskap perubatan, sentuhan kemanusiaan tetap penting dalam penjagaan pesakit.
"Inovasi semata-mata tidak mencukupi, ia harus diiringi dengan belas ihsan. Cara anda melayan pesakit adalah penting.
"Kecemerlangan bukan hanya diukur berdasarkan hasil klinikal tetapi juga dinilai melalui maruah, rasa hormat dan sokongan yang kita berikan kepada para ibu serta keluarga mereka ketika melalui antara detik paling penting dalam kehidupan," katanya pada majlis pelancaran Simposium Anestesia Obstetrik Malaysia (MyOASym) ke-16 2026, di sini, pada Jumaat.
Wan Azizah berkata, peningkatan kerumitan dalam penjagaan kesihatan ibu, termasuk kes yang melibatkan kehamilan pada usia lanjut, obesiti, masalah jantung yang kompleks serta pendarahan obstetrik, memerlukan tenaga profesional kesihatan berkemahiran tinggi dan kerjasama pelbagai disiplin yang lebih mantap.
Beliau menggesa pelaksanaan yang lebih meluas bagi latihan simulasi pelbagai disiplin secara berkala yang melibatkan pakar bius, pakar obstetrik dan pakar neonatologi bagi memperkukuh semangat kerja berpasukan serta tahap kesiapsiagaan dalam mengendalikan situasi berisiko tinggi.
"Melalui penginstitusian sistem amaran awal dan memupuk budaya kerja yang mengutamakan komunikasi jelas, kita mampu menangani situasi berisiko tinggi dengan berkesan serta mengubah potensi krisis menjadi kisah kejayaan dalam mengharungi cabaran.
“Marilah kita bergerak sebagai satu pasukan, adakalanya kita bekerja berasingan atau silo, dan amalan sedemikian tidak banyak membantu," katanya.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu turut menasihati generasi muda golongan profesional dalam penjagaan kesihatan supaya sentiasa bersikap ingin tahu dan komited terhadap pembelajaran sepanjang hayat, mendapatkan bimbingan, tidak takut untuk bertanya, terus belajar daripada pengalaman klinikal serta memupuk sifat empati seiring dengan kemahiran teknikal.
Wan Azizah turut mengalu-alukan penyertaan profesional penjagaan kesihatan dari seluruh Malaysia selain dari Singapura, Hong Kong dan Pakistan dalam simposium yang berlangsung selama dua hari itu.
-- BERNAMA