ISTANBUL: Perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) semakin memberi tekanan terhadap sumber elektrik, air dan tanah di peringkat global, dengan pusat data yang menggerakkan teknologi itu diunjurkan menggunakan 945 terawatt-jam (TWh) tenaga elektrik menjelang 2030, menurut laporan Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU) yang dikeluarkan pada Jumaat.
Menurut Anadolu Ajansi (AA), laporan Institut Air, Alam Sekitar dan Kesihatan UNU (UNU-INWEH) menyatakan kesan alam sekitar AI "diukur secara sistematik dengan tidak tepat" kerana kebanyakan penilaian hanya menumpukan kepada pelepasan karbon, sedangkan kesannya terhadap penggunaan air dan tanah sering diabaikan.
Menjelang 2030, jejak penggunaan air pusat data berkaitan AI dijangka mencecah 9.3 trilion liter, bersamaan keperluan asas air domestik tahunan bagi 1.3 bilion penduduk di Afrika Sub-Sahara, manakala jejak penggunaan tanah dijangka melebihi 14,500 kilometer persegi, kira-kira dua kali ganda keluasan kawasan metropolitan Jakarta.
"Laporan ini bukan bertujuan menolak penggunaan kecerdasan buatan," kata Pengarah UNU-INWEH Kaveh Madani, sambil menggesa penggunaan AI secara bertanggungjawab serta tindakan proaktif bagi menangani kesan sampingan yang tidak diingini.
Laporan itu menyatakan pusat data di seluruh dunia menggunakan kira-kira 448 TWh tenaga elektrik pada 2025. Jika dianggap sebagai sebuah negara, pusat data itu akan menjadi pengguna elektrik ke-11 terbesar di dunia.
Laporan berkenaan turut memberi amaran bahawa penggunaan tenaga "rendah karbon" tidak semestinya bermaksud penggunaan air atau tanah yang rendah, sambil menjelaskan sesetengah peralihan tenaga mampu mengurangkan pelepasan karbon tetapi pada masa sama meningkatkan tekanan terhadap sumber air dan tanah.
Laporan itu turut menyatakan perbahasan awam terlalu tertumpu kepada tenaga yang diperlukan untuk melatih model AI berskala besar, sedangkan sebahagian besar penggunaan tenaga AI datang daripada proses inferens, iaitu proses model AI yang telah digunakan untuk menjana respons kepada arahan pengguna, yang menyumbang antara 80 hingga 90 peratus daripada keseluruhan penggunaan tenaga AI.
Menurut laporan itu, ChatGPT sahaja dianggarkan memproses kira-kira 2.5 bilion arahan setiap hari, menggunakan sekitar 383 gigawatt-jam (GWh) tenaga elektrik setahun.
Jejak alam sekitar AI juga berbeza mengikut jenis tugasan. Sebagai contoh, penjanaan imej menggunakan AI memerlukan kira-kira 1,450 kali lebih banyak tenaga berbanding pengelasan teks asas, manakala penjanaan video pendek menggunakan AI boleh menggunakan tenaga elektrik yang menyamai 200,000 proses pengelasan mesej spam.
Laporan itu menggesa pembentukan ekosistem AI yang bertanggungjawab berasaskan ketelusan, kecekapan dalam reka bentuk, keadilan alam sekitar, tanggungjawab sepanjang kitaran hayat, kerjasama global serta penggunaan secara mampan.
-- BERNAMA-ANADOLU