KUALA LUMPUR: Sebuah hospital baharu akan dibina di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan bagi menampung keperluan perkhidmatan kesihatan penduduk daerah Seremban serta bagi menyuraikan kesesakan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ).
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pembinaan hospital baharu di koridor utara Seremban itu, amat sesuai dengan pembangunan rancak di kawasan tersebut yang secara langsung telah menyebabkan peningkatan populasi penduduk yang mendadak.
Beliau berkata keputusan untuk membina hospital baharu itu dicapai, susulan semakan semula hala tuju pembinaan Hospital Tuanku Ja'afar 2 (HTJ2) di Rasah oleh Kementerian Kesihatan (KKM), serta hasil perbincangan dengan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun pada 16 Jun lepas.
“Kerajaan Negeri juga telah mengenal pasti dua bidang tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan berkeluasan 50 ekar (20 hektar), di kawasan tersebut.
“Oleh itu, KKM akan mengadakan lawatan di kedua-dua tapak tersebut dalam masa terdekat, bagi mengenal pasti tapak yang paling sesuai untuk dibina hospital baharu sebelum permohonan tukar guna tanah dikemukakan kepada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG),” katanya.
Dzulkefly berkata demikian menerusi jawapan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah), mengenai maklumat terkini berkaitan rancangan pembinaan HTJ2 di Parlimen Rasah.
Beliau berkata sekiranya permohonan tukar guna tanah diluluskan, kerja-kerja awalan bagi projek berkenaan akan dimulakan segera, iaitu melibatkan kerja ukur tanah, kerja-kerja siasatan tanah, penyediaan reka bentuk konsep, penyediaan anggaran kos projek dan pelaksanaan Makmal Pengurusan Nilai (VA).
“Seterusnya, Menteri Besar juga bersetuju supaya permohonan pemberi milikan tanah Rizab Persekutuan di Lot 2406 dan Lot 1890, Bandar Seremban seluas 36.748 ekar (kira-kira 14 hektar), diteruskan bagi dimanfaatkan untuk pembangunan projek-projek fasiliti kesihatan yang bersesuaian pada masa hadapan, seperti pembinaan blok tambahan untuk HTJ sedia ada dan pembinaan Pusat Kecemerlangan Perkhidmatan (COE).
Sementara itu, beliau berkata kerajaan melalui TalentCorp di bawah Kementerian Sumber Manusia telah melaksanakan program Returning Expert Program (REP) bagi menarik bakat dan kepakaran warganegara Malaysia yang berkhidmat di luar negara, termasuk dalam bidang perubatan dan kesihatan.
“Program REP melibatkan pemberian insentif khas seperti pengecualian cukai pendapatan dan duti eksais untuk pembelian kenderaan buatan tempatan.
“Antara permohonan tertinggi untuk program REP sektor kesihatan adalah daripada negara United Kingdom, Singapura dan Australia, manakala kategori profesion tertinggi yang memohon REP ialah pakar perubatan dan doktor perubatan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai kesediaan kerajaan melaksanakan reformasi yang menyeluruh termasuk semakan struktur gaji, program khas menarik pulang berkhidmat dalam negara dan membuka tawaran kerja doktor dan jururawat asing.
Sementara itu Dzulkefly berkata mengenai kebenaran untuk doktor dan jururawat asing berkhidmat dalam negara, ia telah lama diberikan dengan syarat ketat dikawal selia Majlis Perubatan Malaysia dan Lembaga Jururawat Malaysia demi menjamin kualiti perkhidmatan kesihatan.
Beliau berkata pada masa ini, KKM melantik pakar perubatan bukan warganegara untuk memenuhi keperluan perkhidmatan bagi bidang kritikal dan penempatan tertentu, selain melantik pegawai perubatan siswazah bukan warganegara yang terdiri daripada pasangan kepada warganegara Malaysia dan berstatus pemastautin tetap, untuk menjalankan latihan siswazah di KKM.
“Bagi pengambilan jururawat asing untuk berkhidmat di KKM, perkara tersebut masih dalam penelitian dari aspek kebolehlaksanaan dengan agensi atau kementerian yang berkaitan,” katanya.
-- BERNAMA